Rabu, 19 November 2014 | 3:17pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat produk yang dihasilkan menerusi kaedah bio selepas merasmikan Persidangan dan Pameran BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2014 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Syarikat BioNexus fokus perniagaan global mulai 2016 - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan perasmian Persidangan dan Pameran BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2014 di Universiti Malaya di sini hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata peranan syarikat BioNexus akan menjadi lebih menonjol dalam fasa ketiga Dasar Bioteknologi Nasional yang dijadual bermula pada 2016.

Perdana Menteri berkata, fasa ketiga itu akan memberi tumpuan kepada Perniagaan Global yang mana sasarannya adalah membawa Malaysia menjadi pemain global dalam industri bioteknologi menjelang tahun 2020.

"Ketika ini kita mempunyai sejumlah 240 syarikat BioNexus dengan jumlah pelaburan yang diluluskan lebih RM4.41 bilion.

"Kita perlu meningkatkan momentum bagi memberi sokongan dan mengekalkan aktiviti pengkomersialan secara agresif syarikat BioNexus," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Pameran dan Persidangan BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2014 di Kompleks Inovasi dan Pengurusan Penyelidikan, Universiti Malaya di sini, hari ini.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melihat produk yang dihasilkan menerusi kaedah bio selepas merasmikan Persidangan dan Pameran BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2014 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Selepas kesukaran yang dialami dalam meningkatkan industri bioteknologi selama ini, pendekatan pihak bertanggungjawab perlu diselaraskan dan ditambah baik dengan sewajarnya.

"Ketika kita sedang menghampiri penghujung fasa kedua dan bergerak ke fasa terakhir atau fasa ketiga Dasar Bioteknologi Nasional, strategi lebih agresif diperlukan dalam merangsang dan mengekalkan pertumbuhan industri bioteknologi ini menjelang 2020," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kekurangan tenaga kerja berbakat dalam sektor bioekonomi dapat diselesaikan menerusi perkongsian inovatif antara kerajaan, syarikat swasta dan institusi awam.

Usaha itu termasuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, memupuk budaya inovatif dan meningkatkan prestasi melalui latihan.

"Universiti dan institusi pengajian tinggi lain perlu menjadi pembekal utama kepada tenaga kerja berpengetahuan bagi mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan industri yang berasaskan bio," katanya.

Berita Harian X