Khamis, 18 Ogos 2016 | 8:48pm

SMK Labuan juara National Science Challenge 2016


MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau bergambar bersama peserta pada majlis penutup pertandingan National Science Challenge 2016 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto Saddam Yusoff

BANGI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan muncul juara National Science Challenge 2016 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas menewaskan 16 buah sekolah lain.

Pertandingan itu dianjurkan Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Rangkaian Saintis Muda (YSN-ASM) dengan kerjasama ExxonMobil Subsidiaries di Malaysia (ExxonMobil).

Tempat kedua dimenangi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi; ketiga MRSM Tun Abdul Razak (Pahang) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Terengganu) di tempat keempat.

Dengan kemenangan itu, SMK Labuan akan dibawa menyaksikan Majlis Anugerah Hadiah Nobel yang akan berlangsung di Stockholm, Sweden, Disember ini.

Sementara itu, tiga buah sekolah lagi berpeluang ke Jepun, tahun depan bagi mengikuti program Pertukaran Sains SAKURA ditaja oleh Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau hadir pada majlis penutup pertandingan itu.

Berita Harian X