Rabu, 19 November 2014 | 6:40pm
Perdana Menteri melawat pameran produk bio pada Pameran dan Persidangan BioMalaysia & Bioeconomy Asia Pacific 2014. - Foto Aizuddin Saad

BiotechCorp sasar raih pelaburan RM5 bilion 2015

KUALA LUMPUR: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) menyasar meraih pelaburan sekurang-kurangnya RM5 bilion tahun depan, bersandarkan kekukuhan tiga segmen utamanya iaitu pertanian, perindustrian dan farmaseutikal.

Ketua Eksekutif Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal, berkata Malaysia bakal menerima pelaburan mega baharu daripada beberapa gergasi industri bioteknologi terkemuka dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun.

Sebahagian pelaburan baharu itu akan diumumkan pada suku pertama tahun depan dan ia bakal membuka rantaian ekonomi serta memberi impak besar kepada negara khususnya dalam guna tenaga mahir tempatan, pembangunan pengetahuan dan perkongsian teknologi tinggi industri.

"Bagaimanapun, kerajaan perlu lebih memilih dalam meluluskan pelaburan asing ke negara ini kerana kita mahukan pelaburan berimpak tinggi dan mampu memberikan pulangan yang besar kepada negara," katanya pada sidang media selepas perasmian Pameran dan Persidangan BioMalaysia & Bioeconomy Asia Pacific 2014 di sini hari ini.

Pameran dan Persidangan BioMalaysia & Bioeconomy Asia Pacific 2014 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Ewon Ebin; Pengerusi BiotechCorp, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid; dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Jumlah pelaburan diluluskan bagi industri berasaskan bioteknologi Malaysia dari 2011 hingga sekarang meningkat lebih sekali ganda kepada RM18.98 bilion berbanding sasaran RM9 bilion yang ditetapkan untuk tempoh 2011-2015.

BiotechCorp dalam kedudukan selesa dengan nisbah pelaburan tempatan dan antarabangsa 50-50 yang dicatat setakat ini, katanya.

Terdahulu Perdana Menteri menyaksikan pertukaran dokumen enam kerjasama dengan nilai pelaburan berjumlah lebih RM250 juta antaranya dengan Malaysia Debt Venture Bhd, Verdezyne, Thailand Centre of Excellence for Life Sciences, Gas Malaysia Bhd dan Sirim Bhd.

Pada perasmian, Najib juga melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Bioekonomi (BTP) 2014 yang mengetengahkan pencapaiannya sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Hingga kini, BTP mencatat 25 projek pencetus yang dijangka menjana pendapatan negara kasar (PNK) RM4.2 bilion menjelang 2020.

Untuk tempoh jangka panjang, BTP menyasarkan PNK berjumlah RM48 bilion dengan penghasilan 170,000 peluang pekerjaan baharu dan pelaburan bernilai RM50 bilion menjelang 2020.

Berita Harian X