Jumaat, 19 Ogos 2016 | 8:33pm

Zul Ariffin nafi merisik Zahirah di Australia

PELAKON, Zul Ariffin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin menafikan dakwaan kononnya beliau sudah merisik teman wanitanya, Zahirah Macwilson, ketika berkunjung ke Australia baru-baru ini.

Beliau berkata, lawatan ke negara kangaru itu, yang turut disertai kakak dan abangnya, adalah bagi meninjau peluang perniagaan termasuk membuka kafe.

"Saya ke sana atas urusan lain dan kebetulan berjumpa dengan keluarga Zahirah.

"Saya turut bertemu dengan produksi tempatan yang sedang menjalankan penggambaran," katanya kala ditemui BH pada majlis pelancaran filem Tombiruo, di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini juga tiada sebarang perbincangan mengenai arah tuju hubungan mereka berdua.

Zul yang dikenali menerusi drama Rindu Awak 200% bagaimanapun mengakui masih bersama dengan pelakon muda itu, namun enggan bercerita mengenainya.

"Tidak ada yang menarik mengenai hubungan kami untuk dikongsikan dengan pembaca," katanya.

Sementara itu, buat julung kali pelakon ini akan muncul beraksi dengan memaparkan susuk tubuh sasanya apabila diberikan amanah menggalas watak utama dalam Tombiruo.

Berita Harian X