Sabtu, 20 Ogos 2016 | 12:03am

Risiko pneumonia jemaah haji

UMAT Islam yang mahu mengerjakan ibadat haji dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan

SETIAP tahun, lebih dua juta jemaah haji yang datang dari lebih 180 negara, berkumpul di Mekah untuk melaksanakan ibadat haji, dengan lebih 20,000 daripadanya dari Malaysia.

Seperti tahun sebelumnya, apabila berlakunya percampuran jutaan manusia dalam satu tempat pada masa sama, keadaan sedemikian boleh meningkatkan risiko gangguan kesihatan terhadap jemaah haji.

Ketua Jabatan Respiratori Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah, Dr Razul Md Nazri Md Kassim, menjelaskan terdapat beberapa risiko yang perlu dihadapi jemaah kerana mereka datang dari pelbagai negara berlainan budaya dan tingkah laku berbeza.

Hadapi pelbagai risiko

Dr Razul berkata, memandangkan jumlah jemaah haji yang begitu tinggi, keadaan itu menyebabkan kedudukan individu dengan individu lain menjadi begitu rapat semasa mereka sedang melaksanakan ibadat itu.

"Kita tidak dapat mengelak tersentuh jemaah haji negara lain yang kita tidak ketahui status kesihatan mereka. Malah di sana juga, kemudahan untuk jemaah haji terhad dan perlu berkongsi tandas dengan ribuan jemaah lain," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Razul berkata, risiko penyakit terhadap jemaah terbahagi kepada dua iaitu tidak berjangkit dan berjangkit.

"Untuk risiko tidak berjangkit, seperti trauma atau kecederaan dialami jemaah haji. Contohnya seperti insiden kren tumbang pada musim haji yang lalu serta kemalangan membabitkan kenderaan.

"Mereka juga terdedah kepada risiko strok haba dan akan mengalami gejala seperti pening, muntah dan loya.

"Memandangkan cuaca panas dan keadaan penuh sesak, jemaah terdedah kepada selaran matahari dan dehidrasi," katanya ketika ditemui BH Sihat, barubaru ini.

Perlu ambil suntikan vaksin

Tambahnya lagi, jemaah haji juga terdedah kepada risiko jangkitan terhadap kesihatan mereka.

Berdasarkan data, risiko tertinggi adalah jangkitan meningococal meningitis.

Disebabkan faktor itu, kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah mendapatkan suntikan vaksin meningococal kerana jika terkena jangkitan ini, kesannya boleh menjadi begitu bahaya.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan dalam kes jangkitan saluran respiratori seperti pneumonia, tuberculosis dan jangkitan viral.

Beliau berkata, pneumonia mencatatkan jumlah kemasukan ke hospital paling tinggi berbanding penyakit lain.

"Berdasarkan data terbaharu yang diperoleh, masalah utama membabitkan kesihatan jemaah haji adalah pneumonia.

"Sebanyak 338 kes kemasukan ke hospital disebabkan pneumonia dicatatkan berbanding kes lain yang tidak begitu banyak. Risiko untuk terjadinya pneumonia dalam kalangan jemaah haji juga lebih tinggi jika mereka sudah mempunyai penyakit lain.

"Data pada tahun 2007 menunjukkan seramai 40 peratus jemaah haji mempunyai penyakit lain. Selain itu, umur juga memainkan peranan penting untuk mendapat pneumonia. Purata umur jemaah dari Malaysia sekitar 70 tahun dan menjadikan risiko meningkat," katanya.

DR Razul Md Razi Md Kassim dan Dr. Azureen Azmil menunjukkan buku panduan vaksin dalam perbincangan meja bulat kepentingan vaksin sebelum ke Makkah di Kuala Lumpur.

Langkah pencegahan menerusi vaksin

Buat masa ini, kerajaan hanya menyediakan suntikan vaksin meningococal secara percuma dan wajib diambil oleh jemaah haji.

Bagaimanapun, jemaah haji digalakkan mengambil suntikan vaksin pneumococcal untuk mencegah penyakit disebabkan streptococcus pneumoniae serta suntikan vaksin influenza.

Jemaah dinasihatkan mengambil langkah pencegahan sendiri dengan mengawal tingkah laku mereka.

Ia termasuklah seperti sentiasa memastikan tangan sentiasa bersih, memakai topeng muka, mengamalkan etika batuk (tutup mulut dengan tisu.

Mereka disarankan menjaga jarak sosial dengan jemaah lain dan sentiasa elakkan daripada bercampur dengan jemaah haji yang sakit.

INFO: Apa itu pneumonia?

- Pneumonia adalah radang atau inflamasi pada paru-paru. Keadaan di mana alveoli dipenuhi dengan sel inflamasi. Pneumonia biasanya disebabkan jangkitan kuman bakteria dan virus, tetapi boleh disebabkan kulat atau parasit. Ia juga boleh terjadi akibat dari tindakbalas kimia atau fizikal.

Simptom pneumonia

- Pesakit yang mengidap pneumonia mengadu batuk berkahak warna kuning atau hijau. Pesakit juga akan mengalami kesan demam panas serta menggigil.

- Kahak bagi mereka yang dijangkiti Streptococcus pneumoniae berwarna `karat'

- Mengadu sesak nafas

- Sakit dada semasa menarik nafas atau `pleuritic chest pain' adalah sakit yang dialami seperti ditusuk sesuatu yang tajam.

- Batuk berdarah

- Berpeluh

- Sakit sendi dan otot

Tanda serangan secara fizikal

Tanda yang didapati apabila diperiksa oleh pengamal perubatan adalah demam dengan suhu badan lebih 37.8 darjah Celcius dan denyut nadi yang laju ( >100/minit).

Tanda sistemik
- Demam panas
- Menggigil
- Sakit kepala
- Kurang selera makan.

INFO

338 kes kemasukan ke hospital disebabkan pneumonia

Panduan jemaah haji jika jatuh sakit

- Sentiasa duduk di dalam bilik jika diberikan cuti sakit

- Hadkan komunikasi dengan jemaah lain untuk cegah jangkitan terhadap mereka

- Tutup mulut dan hidung guna tisu setiap kali batuk dan bersin

- Kekalkan kebersihan diri.

Berita Harian X