Ahad, 21 Ogos 2016 | 1:50pm

Dua makmal dadah 'Geng 24' digempur polis

MOHD Mokhtar menunjukkan peralatan memproses dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan ketika sidang media rampasan dadah oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad
MOHD Mokhtar menunjukkan peralatan memproses dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan ketika sidang media rampasan dadah oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Dua makmal pemprosesan dadah syabu dan heroin milik kumpulan kongsi gelap Geng 24, digempur Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, dalam tujuh serbuan di sekitar Selangor, semalam.

Dalam serbuan yang dibantu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) itu, seramai 14 ahli sindiket warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun ditahan selain 150 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM600,000 dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata sindiket ini yang mula beroperasi sejak enam bulan lalu didapati memproses dadah berkenaan untuk pasaran dalam negara.

"Kejayaan serbuan ke atas dua makmal dadah ini adalah berdasarkan hasil maklumat orang awam yang segera memaklumkan kepada pihak polis mengenai sesuatu perkara yang mencurigakan.

"Berdasarkan maklumat, kami menjalankan risikan dan pemantauan sebelum tujuh serbuan dilakukan secara serentak semalam," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 15 kg dadah heroin, 7.7 kg dadah syabu serta 129 kg kafein yang digunakan untuk memproses dadah heroin dan syabu.

"Kami turut menyita 13 kereta, dua buah lori, wang tunai serta barang kemas bernilai RM1 juta dari sindiket terbabit," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X