Ahad, 21 Ogos 2016 | 2:30pm

Klopp bingung fikir kekalahan Liverpool


PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

BURNLEY: Jurgen Klopp mengakui berasa hairan dengan kekalahan mengejut Liverpool di Burnley yang mana mereka menikmati penguasaan lebih 80 peratus permainan, tetapi masih tewas 2-0 kepada pasukan baharu dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Malah, bos The Reds itu mendedahkan sebenarnya penguasaan bola pasukannya di Turf Moor lebih seperti 90 peratus malam tadi, namun mereka gagal mencipta sebarang peluang.

Jaringan babak pertama daripada Sam Vokes dan Andre Gray membolehkan skuad kendalian Sean Dyche mengutip mata pertama pada musim ini.

"Macam mana saya boleh gembira dengan keputusan seperti ini?" kata Klopp. "Apabila kami melepaskan gol pertama mereka terus bertahan sehingga wisel penamat. Kedua-dua penyerang mereka Gray dan Vokes sangat bekerja keras.

"Nasib tidak menyebelahi kami dan setiap pemain perlu menjadi lebih klinikal. Itulah kenyataan yang perlu ditelan kami. Burnley berhak untuk menang dengan persembahan yang bersemangat.

"Kami kalah dalam perlawanan yang dikuasai kami lebih 80 peratus hari ini (malam tadi) tetapi sepatutnya kami boleh mempelbagaikan corak permainan kami untuk memecah kubu lawan.

"Itu tidak mengapa. Tetapi apabila kami melepaskan gol awal, peluang belum tertutup, kami mempunyai tempoh masa yang banyak untuk menang.

"Malah, pada rehat babak pertama, saya fikir kemungkinan itu masih ada. Tetapi keputusan dibuat pemain sepanjang aksi serba tidak menjadi."

Klopp mengkritik barisan pertahanan ketika mencatat kemenangan 4-3 di Arsenal dan, selepas melepaskan dua lagi gol di Turf Moor, Liverpool kini hanya dua kali tidak bolos dalam 13 perlawanan terakhir liga mereka. - AFP

Berita Harian X