Ahad, 21 Ogos 2016 | 3:56pm

Rakyat disaran bina tamadun bangsa, belajar sejarah


Datuk Md Alwi Che Ahmad.

KOTA BHARU: Masyarakat disaran mempelajari sejarah lebih mendalam dan membina tamadun bangsa, bagi mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi kini.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata ini kerana pembentukan negara yang didiami masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah satu kejayaan fardu kifayah yang belum dinikmati penduduk Islam lain di negara luar.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkata, rakyat perlu berwaspada dengan pengaruh tidak bertanggungjawab terutama dengan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin hari ini.

"Kita sedang bina tamadun yang baru mahu berkembang. Jika ada yang tiba-tiba nak runtuh, rakyat kena tengok sebab banyak tamadun yang runtuh sebab percanggahan pendapat.

"Kita perlu tengok sejarah, belajar sejarah dan jangan biar sejarah yang 'mengajar' kita. Antara sejarah yang perlu dipelajari adalah keruntuhan tamadun Yugoslavia," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat KADA di Pejabat KADA, Lundang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar KADA, Mohd Ridzuan Ismail.

Pada majlis berkenaan, Md Alwi melancarkan gimik dengan melekatkan bendera Malaysia pada 15 kenderaan kegunaan KADA dan kereta kakitangan KADA bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Katanya, kempen kibar jalur gemilang itu akan diteruskan di semua jabatan KADA bagi menzahirkan rasa syukur menikmati kemerdekaan negara.

Berita Harian X