Ahad, 21 Ogos 2016 | 11:56pm

Ella terus rock walau bertudung


ELLA pada Konsert Lentera Muzika Ella di Angkasapuri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama Ella muncul dengan imej baharu pada persembahan berskala besar menerusi Konsert Lentera Muzika Ella yang berlangsung di Angkasapuri di sini sebentar tadi.

Kemunculan Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 50, dengan imej bertudung membuatkan penonton terpegun melihatnya beraksi pada konsert itu yang berlangsung selama sejam setengah.

Mula berhijab sejak Ramadan lalu, penampilan berkenaan tidak sedikit pun menghalang Ella untuk beraksi lincah seperti biasa dan mengekalkan identitinya sebagai ratu rock negara.

Ella tidak menghampakan penonton apabila menari dan melompat sambil mendendangkan beberapa lagu hitnya seperti Kitalah Bintang dan Nuri.

Dia juga sekali sekala tampil dengan gaya manjanya. Tetap ramah, persembahannya tidak membosankan apabila Ella turut berinteraksi bersama penonton.


WALAUPUN berhijab, Ella tetap dengan jiwa rock. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bertemunya selepas konsert, Ella memberitahu walaupun berhijab, dia akan tetap dengan jiwa rock.

"Siapa kata bertudung tidak boleh layan rock? Saya rasa baik kita menjadi diri sendiri.

"Saya terharu, malah tak jangka sambutan terhadap penampilan baharu saya di konsert ini begitu luar biasa," katanya.

Pada konsert itu Ella menyanyikan 14 lagu antaranya Dua Insan Bercinta, Pengemis Cinta dan Kesal. Beliau turut menampilkan suaminya, Azhar dan penyanyi, Lan Typewriter, sebagai artis jemputan.


ELLA berduet bersama suaminya, Azhar pada Konsert Lentera Muzika Ella di Angkasapuri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Berita Harian X