Isnin, 22 Ogos 2016 | 7:42am

Ribut petir di Perak, Kelantan, Terengganu, Sarawak

KUALA LUMPUR: Ribut petir di perairan Perak, Kelantan, Terengganu serta Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri di Sarawak dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) serta laut bergelora dengan ombak mencecah ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

Mengikut laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 6.04 pagi ini juga melaporkan angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter itu juga dijangka berlaku di perairan Reef North, Layang-Layang dan Palawan sehingga Rabu ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut." kata laporan itu.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir menyeluruh di perairan Reef South, Condore, Reef North, Palawan dan Sulu dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Sementara itu, laman web jabatan berkenaan yang dikemas kini jam 5.30 pagi tadi melaporkan tiada sistem Siklon Tropika dicerap dalam kawasan pemantauan METMalaysia di Latitud 0-20 Utara dan Longitud 95-130 Timur.

Berita Harian X