Isnin, 22 Ogos 2016 | 8:12am

8 kemalangan di lebuh raya utama


KENDERAAN pacuan empat roda terbabas dan terbalik dalam kemalangan maut di KM75.7 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Machap, semalam. - Foto Bomba Johor

KUALA LUMPUR: Lapan kemalangan dilaporkan berlaku di Lebuh raya Utara Selatan pagi ini, masing-masing di ibu negara, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah, lapor PLUS.

Syarikat konsesi itu menerusi laman Twitternya @Plustrafik melaporkan, pada jam 5.25 pagi satu kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 151 arah utara dari Pagoh menuju Bukit Gambir namun, tidak menyebabkan penutupan lorong dan trafik juga terkawal.

Kemalangan turut dilaporkan di KM 120.2 juga arah utara dari Yong Peng ke Pagoh pada jam 7.14 pagi; Simpang Renggam menuju Sedenak pada jam 7.21 pagi, KM 45 arah selatan dan KM 27.8 arah selatan dari Kulai menuju ke Senai utara.

Di Negeri Sembilan, kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 7.14 pagi di Persimpangan Nilai Utara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Nilai.

Di Pulau Pinang pula, trafik perlahan sepanjang empat kilometer dari Bertam ke Sungai Dua susulan kemalangan di KM 124.3 arah selatan.

Kemalangan turut dilaporkan berlaku sebentar tadi di ibu negara, iaitu NKVE dari Damansara menuju ke Subang namun tiada lorong terhalang dan KM 119 arah selatan dari Sungai Petani ke Bertam, di Kedah.

Sementara itu, aliran trafik di laluan utama seluruh negara dilaporkan mula bergerak perlahan berikutan peningkatan jumlah kenderaan.

Di ibu negara, trafik perlahan dari Bukit Lanjan menuju Tol Jalan Duta, selepas Tol Jalan Duta menuju pusat bandar, Lebuh raya Persekutuan dari Subang Jaya ke Sunway, Damansara menuju Kayu Ara dan Putrajaya ke Bandar Saujana Putra dan Putra Height di Lebuhraya ELITE.

Di Pulau Pinang, kenderaan mulai sesak dari Permatang Pauh menuju ke Perai dan Jambatan Pulau Pinang dari Perai menuju ke Perai manakala, di Johor pula sesak di Bangunan Sultan Iskandar dari Malaysia ke Singapura.

Berita Harian X