Isnin, 22 Ogos 2016 | 8:49am

Seoul beri amaran kemungkinan tindakan balas dendam Pyongyang

SEOUL: Korea Selatan memberi amaran semalam kemungkinan berlakunya pembunuhan dan penculikan oleh Korea Utara sebagai membalas dendam beberapa insiden belot berprofil tinggi ke Selatan.

Kementerian Penyatuan di Seoul berkata, Pyongyang bersungguh-sungguh untuk melancarkan provokasi terutama ketika ketegangan memuncak menjelang latihan ketenteraan besar-besaran antara Korea Selatan dan AS yang bermula hari ini.

Seorang pegawai kementerian memberitahu pemberita, pembelotan timbalan duta Korea Utara ke Britain dan keluarganya meletakkan Utara dalam "keadaan yang sangat sukar".

"Ia mungkin berlaku memandangkan watak pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, yang sangat berbahaya," kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Beliau turut mengakui cubaan untuk membunuh ketua ideologi Utara dan bekas tutor kepada pemimpin sebelum Kim Jong-Il, Hwang Jang-Yop yang berpaling tadah ke Selatan pada 1997 dan meninggal dunia akibat sebab-sebab semula jadi pada tahun 2010.

Pegawai itu juga berkata, Kim Jong-Un sudah menghantar skuad ke sempadan China untuk menjejaskan Korea Selatan berikutan sekumpulan pekerja restoran di luar negara Korea Utara yang berpaling tadah pada April lalu.

Timbalan Duta Thae Yong-Ho dipercayai bertugas di kedutaan di London selama 10 tahun sebelum mengumumkan berpaling tadah minggu lalu.

Korea Selatan berkata, beliau terdorong untuk bertindak sedemikian kerana rasa jijik dengan rejim Pyongyang, dan kagum dengan sistem bebas dan demokratik Korea Selatan selain bimbang akan masa depan keluarganya. - Agensi

ORANG ramai menyaksikan berita mengenai Timbalan Duta Thae Yong-Ho di London, di Stesen Keretapi Seoul. - Foto AP

Berita Harian X