Selasa, 23 Ogos 2016 | 7:21am

Keuntungan GLC hasil keringat pejuang negara

SEJAK pelancaran Tabung Pahlawan pada 31 Julai lalu, sumbangan diperoleh mencatat RM1.47 juta daripada tujuh syarikat. Kempen akan diteruskan sehingga 31 Disember ini seperti tahun-tahun sebelum ini.

Sudah jadi kebiasaan setiap tahun di mana hanya ketika majlis pelancaran saja Tabung Pahlawan menerima sumbangan besar, namun bulan seterusnya penyaluran jadi perlahan walaupun ada ribuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini.

Jadi, saya bangga apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan tegas menyatakan sumbangan GLC begitu kecil walaupun sepatutnya lebih banyak syarikat lain turut menyumbang.

Saya rasa sudah ada gerakan, tambahan pula Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein secara peribadi mengarahkan Unit Komunikasi Strategik (UKS) di bawah kementeriannya bergabung dengan Media Prima Berhad (MPB) dan media cetak lain untuk susun strategi memberi kesedaran kepada orang ramai.

Tujuan tabung itu ditubuhkan adalah untuk mendapatkan dana bagi membantu pejuang negara yang tidak berkemampuan, daif, kurang upaya (OKU) serta tiada sumber pendapatan. Mereka menjalani kehidupan serba kekurangan meskipun pengorbanan untuk negara cukup besar. Berbeza dengan GLC yang terus mencipta keuntungan hasil kemakmuran dan keharmonian negara hasil usaha veteran ATM berkenaan.

Adakah mereka lupa siapa yang bertanggungjawab menjaga keamanan ketika negara berada dalam keadaan darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1990? Bagaimana kalau keadaan itu terus berlaku? Adakah GLC mampu memperoleh keuntungan seperti mana ketika ini?

Terdapat ribuan GLC yang mendapat keuntungan besar, namun mereka lupa pengorbanan pejuang negara sehinggakan kejayaan itu diperoleh, seterusnya membawa kepada negara yang lebih maju. Tahun lalu, Tabung Pahlawan mencatat kutipan RM1.6 juta bagi tempoh lima bulan sepanjang kempen berlangsung.

Buat masa ini, hanya tujuh syarikat yang memberi sumbangan termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebanyak RM1 juta, Weststar Sdn Bhd (RM100,000), Khazanah Malaysia melalui UEM (RM100,000) dan selebihnya oleh anak syarikat di bawah LTAT.

Bantuan diagih kepada tiga kategori

Bantuan diberikan melalui tabung itu ketika ini diagihkan kepada tiga kategori iaitu veteran kurang upaya (VKU) akibat kesan perang, veteran tidak berkemampuan atau tiada sumber pendapatan, serta veteran ditimba musibah.

Sehingga kini, seramai 2,000 VKU diberi sumbangan tahunan RM500 sebagai penghargaan dan pengorbanan mereka ketika perang, manakala 120 veteran yang daif serta tidak berkemampuan menerima RM300 sebulan melalui tabung itu. Bagi veteran ditimpa musibah pula, purata bantuan ialah RM2,000 dan ia berdasarkan nilai kerugian serta bentuk musibah bagi meringankan sedikit beban mereka.

Pihak Persatuan Veteran Angkatan Tentera sudah pun menghantar surat kepada semua GLC, tapi ada yang beri maklum balas mengecewakan dan ada juga tiada respon langsung. Mereka tidak sedar sekiranya negara tidak mendapat keamanan dan kemerdekaan pada 31 Ogos, kejayaan mereka selama ini tidak akan tercapai.

Justeru, saya mohon semua GLC yang banyak nikmati keuntungan hasil keringat bekas tentera mendapatkan keamanan negara, supaya tampil membantu kerana kemerdekaan negara tidak akan berlaku pada 31 Ogos tanpa pengorbanan mereka pada 31 Julai 1957.

Bagi orang ramai pula, saya berharap mereka juga ringankan tangan untuk menyumbang. Sekurang-kurangnya, semua masjid di seluruh negara adakan kutipan sekali setahun dan ia sudah memadai untuk hargai jasa pejuang.

Pada masa sama, orang ramai sendiri boleh hulur sumbangan. Ia bukan sekadar bantuan, tapi penghargaan kepada bekas tentera yang lama berjuang. Sumbangan melalui tabung itu juga akan disalurkan kepada rumah anak yatim di Kulim dan Muar membabitkan 55 anak yatim yang sudah dikenal pasti.

Penulis ialah Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM)

Berita Harian X