Selasa, 23 Ogos 2016 | 10:04am
TRIUMPH Tiger XRX 800 adalah penambahan lebih banyak ciri-ciri elektronik dan ia disepadukan dengan lebih terperinci berbanding model sebelumnya. - Foto Amirudin Sahib
VERSI ini antara motosikal pertama dalam kelasnya yang dilengkapi Sistem brek cegah kunci (ABS). - Foto Amirudin Sahib
ENJIN tiga silinder sebaris 800cc Triumph amat senyap dan kurang gegaran. - Foto Amirudin Sahib

Ketenangan tunggangan Triumph Tiger XRx 800


XRx 800 adalah motosikal jelajah premium, lebih berorientasikan tunggangan jalan raya. - Foto Effendy Rashid

TRIUMPH, yang berpangkalan di Hinckley, United Kingdom, mula mengeluarkan model motosikal yang dikenali sebagai 'Tiger' pada 1937, dan sejak itu juga model ini melalui revolusi, namun begitu yang tidak berubah ialah ia sentiasa berada dalam kelompok teratas dari segi kualiti perjalanan lasak.

XRx 800 adalah motosikal jelajah premium, lebih berorientasikan tunggangan jalan raya dalam barisan model Tiger. Triumph telah melaksanakan langkah berani dalam mengemaskini motosikal pengembaraan tiga silinder ini, sekali gus menjadikan model yang ternyata baik menjadi lebih baik.

Paling ketara pada XRx 800 ini adalah penambahan lebih banyak ciri-ciri elektronik dan ia disepadukan dengan lebih terperinci berbanding model Triumph sebelumnya. Dari segi luaran, Triumph juga mengemaskini rangka, enjin dan ergonomik berbanding versi sebelumnya.

Penulis menunggang uji XRx versi rendah (low version) sumbangan Fast Bikes Sdn Bhd ini pada minggu lalu. Peluang ini diambil untuk melawat rakan lama di Segamat, Johor, perjalanan sejauh 425 kilometer (km) pergi-balik melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

XRX 800 versi rendah menawarkan kualiti dan inovasi kejuruteraan yang sama, cuma ia adalah lebih rendah, sekali gus membolehkannya lebih selesa kepada ramai penunggang khususnya pengguna di Asia.


TRIUMPH Tiger XRx 800 padat dengan pelbagai gajet termasuk kawalan perjalanan. - Foto Amirudin Sahib

Versi rendah ini dibangunkan dengan rekaan semula tempat duduk berserta penurunan suspensi, justeru menjadikan ketinggian keseluruhannya antara 760mm hingga 780mm (30-31 inci).

Paling menarik, versi ini juga antara motosikal pertama dalam kelasnya yang dilengkapi Sistem brek cegah kunci (ABS), sistem kawalan cengkaman dan pengawal perjalanan (cruise control) pada model standard.

Berbeza dengan sebahagian besar motosikal jelajah lain dengan enjin V-Twin, Tiger XRX 800 menggunakan enjin tiga silinder sebaris 800cc, penyejukan cecair, justeru menjadikannya amat senyap dan kurang gegaran.

Enjin yang melampiaskan kuasa sehingga 95PS dan tork 79Nm, mampu memecut sehingga 210-220 kilometer sejam (km/j), bergantung kepada persekitaran.

Paling menarik, XRx 800, pada pendapat penulis, amat jimat dari segi penggunaan petrol, iaitu hanya 4.3 liter setiap 100 km.

Ketika menunggang XRx 800, penulis dengan mudah boleh menukar tiga mod tunggangan iaitu Jalan Raya, Jalan Lasak atau diprogramkan mengikut kehendak penunggang. Mod ini secara automatik menyusun ABS, kawalan cengkaman dan pemetaan pendikit (throttle map) pada kedudukan bersesuaian dengan keadaan jalan yang dilalui.

Kesimpulannya, Tiger XRx 800 menyediakan keseronokan, kestabilan, ketenangan dan 'lebih rasa' ketika menunggang. Padat dengan gajet bantuan tunggangan, seperti yang diidamkan sebahagian besar peminat motosikal pengembaraan, ditawarkan pada harga RM66,900 seunit, Tiger XRx 800 adalah berbaloi untuk dimiliki.


DARI segi luaran, Triumph mengemaskini rangka, enjin dan ergonomik. - Foto Amirudin Sahib

INFO: Tiger XRx 800

XRx: Model khusus kegunaan jalan raya dan tunggangan ringan jalan lasak.

Berat kering: 191 Kg

Kapasiti tangki: 19 L

Teknologi: Advanced ABS; Kawalan Cengkaman (Traction Control); Pemetaan Pendikit (Throttle Map); 3 Mod Tunggangan; Kawalan Perjalanan (Cruise Control); Advanced Trip Computer; Soket Aux.

Rim Sport: 19 inci (depan); 17 inci belakang

Turut dilengkapi: pelindung enjin; plet bash aluminium bash; suspensi depan dan belakang WP boleh laras; tempat duduk boleh direndahkan 5 cm; kotak gear menggunakan komponen model supersport Daytona.

Harga: RM66,900 termasuk GST, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Berita Harian X