Khamis, 20 November 2014 | 12:35pm
KAWASAN pintu masuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinaiki air sedalam 0.4 meter berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu . - Foto NSTP
KAWASAN pintu masuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinaiki air sedalam 0.4 meter berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu . - Foto NSTP

Tiga laluan di Kuala Terengganu, Marang ditutup

KUALA TERENGGANU: Tiga jalan negeri dan empat jalan Persekutuan di daerah Kuala Terengganu dan Marang ditutup kepada lalu lintas berikutan dinaiki air sedalam antara 0.3 meter hingga satu meter.

Selain itu, Jalan Pantai-Batu Rakit di Kampung Pak Tuyu, di sini, ditutup kepada semua kenderaan dan menyebabkan penduduk terputus hubungan kerana saluran air bawah tanah pecah mengakibatkan jalan runtuh.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, berkata tiga jalan negeri yang ditutup kepada kenderaan ialah jalan masuk ke Sekolah Menengah (SM) Padang Kemunting; depan pasar raya Hock Kee Seng di Kampung Bukit Berangan dan Jalan Bukit Berangan-Bukit Nanas dekat Kampung Pulau Cina.

Semua jalan terbabit dinaiki air sedalam 0.3 meter hingga satu meter.

Katanya, jalan Persekutuan di Kuala Terengganu yang ditutup pula ialah di Seksyen 4 dan 5; jalan di simpang tiga dekat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

Di Marang pula, Seksyen 169 jalan susur ke simpang masuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Bukit Payong, ditutup kepada semua kenderaan ringan, manakala di Seksyen 170.6, berhampiran stesen minyak Shell Bukit Payong, hanya dibuka satu laluan.

Kedua-dua jalan ini dinaiki air sedalam 0.4 meter.

Berita Harian X