Rabu, 24 Ogos 2016 | 12:10am
SUNGAI Batu Putih di Kampung Batu Putih, Sandakan yang dipercayai menjadi antara laluan pendatang asing tanpa izin dari selatan Filipina menyeludup masuk ke Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom
SUNGAI Batu Putih di Kampung Batu Putih, Sandakan yang dipercayai menjadi antara laluan pendatang asing tanpa izin dari selatan Filipina menyeludup masuk ke Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Sabtu Osman (kiri) bersalaman dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah selepas menyampaikan amanat kepada anggota di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Kinarut, Papar. - Foto Mohd Adam Arinin.
PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika sidang media selepas menyampaikan amanat kepada anggota di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Kinarut, Papar. - Foto Mohd Adam Arinin.

PGA diarah gempur sungai 'jalan tikus'

PAPAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah menggempur semua sungai, yang menjadi 'jalan tikus' kepada aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), khususnya sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Tindakan itu susulan pendedahan mengenai kegiatan tekong darat, yang mendalangi penyeludupan PATI, secara memanfaatkan sungai utama sekitar Sandakan, untuk menceroboh negeri ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata PGA memiliki bot yang sesuai bagi membuat rondaan di sungai, selain menyertai rondaan laut dan perairan terbuka.


SUNGAI kecil di kawasan batu 7, sandakan yang dipercayai menjadi laluan penyeludup. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Semua Komander Batalion PGA diarah meningkatkan operasi rondaan dan pemantauan termasuk di sungai, bagi memastikan sebarang aktiviti menjejaskan keselamatan termasuk penyeludupan PATI dipatahkan.

"Kita akan tingkatkan rondaan termasuk laluan tikus di sungai kerana ada bot yang sesuai untuk meronda," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di PGA Briged Sabah di Kinarut, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Komander PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Zainudin Samsul Hadi.

Semalam, BH membongkarkan lima sungai sekitar Sandakan di pantai timur Sabah, menjadi laluan tikus untuk menyeludup PATI dari selatan Filipina dengan mengambil kesempatan laluan air yang digunakan masyarakat setempat.


SUNGAI kecil di kawasan batu 7, sandakan yang dipercayai menjadi laluan penyeludup. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Lima lokasi pendaratan yang dikenal pasti adalah Sungai Batu 3, Sungai Batu 7, Sungai Batu 10, Sungai Padas dan Sungai Batu 12.  

Muhammad Sabtu berkata, langkah itu selaras usaha PGA untuk memperkukuh aspek rondaan khususnya di perairan ESSZONE termasuk di Sandakan, yang terdedah kepada aktiviti penyeludupan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin.

"Sebab itu kita bincang untuk tambah lagi rondaan menggunakan bot kita. Bagaimanapun, setakat ini kita ada sedikit kekangan dari segi rondaan, jadi kita terpaksa menggembleng lagi tenaga dengan semua agensi, termasuk marin.


SUNGAI Batu Putih di Kampung Batu Putih, Sandakan yang dipercayai menjadi antara laluan pendatang asing tanpa izin dari selatan Filipina menyeludup masuk ke Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pula akan menyelaras rondaan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan tentera, jadi kita perlu selaraskan semula untuk mengukuhkan rondaan," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, dalam usaha memperkukuhkan kawalan keselamatan di seluruh negeri juga, sebuah lagi batalion baharu PGA akan diwujudkan di Kunak, Sabah, sebagai tambahan kepada lima yang sedia ada.

Beliau berkata, batalion keenam itu melengkapkan perancangan mewujudkan dua Briged PGA di Sabah iaitu Briged Barat dan Briged Timur, yang masing-masing menempatkan tiga batalion PGA.

"Kertas kerja penubuhan Batalion 21 PGA berpangkalan di Kunak sudah diluluskan dan dijangka diwujudkan tahun depan tetapi lokasinya belum diputuskan," katanya.

Lima batalion PGA di Sabah ketika ini ialah Batalion 14 di Tawau; Batalion 15 (Sandakan); Batalion 16 (Kota Kinabalu); Batalion 17 (Lahad Datu) dan Batalion 20 (Beluran).

Sementara di Sandakan, penyeludupan menerusi sungai sekitar daerah ini, didakwa tidak terhad kepada pendatang tanpa izin (PATI) dari Filipina, sebaliknya turut membabitkan barangan terlarang seperti rokok seludup dan dadah.


SUNGAI Batu Putih di Kampung Batu Putih, Sandakan yang dipercayai menjadi antara laluan pendatang asing tanpa izin dari selatan Filipina menyeludup masuk ke Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Masa sama, penduduk tempatan mahu pemantauan terhadap sungai yang menjadi laluan PATI dari selatan Filipina menceroboh negara ini dipertingkatkan menerusi rondaan yang lebih kerap.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Putih, Abdul Sani Hassan, berkata selain laluan tikus, operasi lebih kerap perlu terhadap daratan yang dikhuatiri menjadi tempat PATI membina setinggan.

"Sejak adanya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), aktiviti penyeludupan menerusi laluan sungai berkurangan, namun menjadi kebimbangan kami apabila pendatang asing mula membina rumah di daratan.

"Apabila penempatan setinggan diserbu anggota keselamatan, mereka berpindah-randah ke kawasan lain dan bina penempatan baharu menyebabkan isu PATI tidak pernah berakhir di sini," katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

‎‎Abdul Sani berkata, sungai di perkampungan Batu Putih yang mempunyai lebih 4,000 penduduk dengan kira-kira 700 rumah atas air sejak sekian lama menjadi laluan PATI dari selatan Filipina masuk ke negeri ini.


, Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN), Johnny Lim. - Foto Poliana Ronnie Sidom

‎"Mereka bukan saja menggunakan bot pam, malah bot laju dan biasanya masuk ketika air pasang. Paling membimbangkan kerana mereka juga bawa dadah hingga menimbulkan masalah sosial lain," katanya.

‎Tinjauan BH ke dua sungai iaitu Sungai Batu Putih dan Sungai Korek yang dipercayai menjadi laluan tikus PATI masuk secara haram ke Sabah mendapati, kawasan terbabit agak tersembunyi sekali gus memudahkan aktiviti jenayah rentas sempadan.

‎Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN), Johnny Lim, mendesak agar isu keselamatan di perairan dipertingkatkan demi menjaga imej baik negeri ini, sekali gus menjamin keselamatan pelancong.


SUNGAI Batu Putih di Kampung Batu Putih, Sandakan yang dipercayai menjadi antara laluan pendatang asing tanpa izin dari selatan Filipina menyeludup masuk ke Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom

‎‎Katanya, kes jenayah rentas sempadan terutama penculikan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjejaskan kedatangan pelancong ke Sabah termasuk Sandakan, yang bimbang terhadap keadaan keselamatan negeri ini.

‎"Biarpun lima lokasi yang menjadi laluan PATI bukan laluan ke destinasi pelancongan daerah ini, namun ia masih membimbangkan kerana berkaitan dengan aspek keselamatan negeri ini," katanya.

INFO - Modus Operandi PATI masuk ke Sabah

- Menceroboh menjelang subuh atau waktu siang, ketika peralihan tugas anggota keselamatan atau ketika solat Jumaat

- Menggunakan bot pam kerana lebih cepat

- Menumpang bot nelayan

- Tonto menyamar sebagai kaki pancing atau nelayan memantau pergerakan pasukan keselamatan.

Berita Harian X