Rabu, 24 Ogos 2016 | 12:04pm
BARANG milik Patrick Hickey, Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Ireland yang ditahan untuk disoal siasat kerana dakwaan terbabit dalam rangkaian jualan tiket pasar gelap. - Foto AP
BARANG milik Patrick Hickey, Ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Ireland yang ditahan untuk disoal siasat kerana dakwaan terbabit dalam rangkaian jualan tiket pasar gelap. - Foto AP

Polis Brazil temui bukti e-mel dalang tiket haram

RIO DE JANEIRO: Polis Brazil mengesahkan pihaknya menemui bukti e-mel membabitkan seorang pegawai Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang ditahan, Patrick Hickey dengan sebuah syarikat Britain yang dipercayai terbabit dalam rangkaian jualan tiket Olimpik secara haram.

Polis Rio dalam satu sidang media di sini, juga mengesahkan mereka sedang menyiasat dokumen bank untuk bukti lanjut berhubung kegiatan pihak disyaki melakukan jenayah terbabit.

Hickey, bekas pegawai kanan IOC dari Ireland, ditahan polis Brazil minggu lepas selepas disyaki terbabit menjual tiket Olimpik secara haram.

Temasya Olimpik Rio yang julung kali dilangsungkan di Selatan Amerika berakhir Ahad lalu.

Pegawai penyiasat berkata, mereka menemui bukti komunikasi antara Hickey dan Marcus Evans iaitu Eksekutif firma THG Sports, yang juga seorang ahli perniagaan Britain yang menguruskan syarikat jualan tiket berkenaan.

Antara kandungan e-mel yang didedahkan termasuk perbincangan antara Hickey dan Evans berhubung skim jualan tiket secara haram dengan cadangan membahagikan keuntungan sebanyak 10 juta reais (RM12 juta).

"Mereka banyak rangkaian hubungan," kata Aloysio Falcão, seorang pegawai penyiasat yang mengetuai siasatan skandal berkenaan sambil menunjukkan beberapa helaian cetakan e-mel berkenaan.

Peguam Hickey di Brazil dan Ireland tidak membalas e-mel ataupun panggilan telefon wartawan.

Siasatan ke atas Hickey, membawa kepada penahanan tiga lagi pegawai dari jawatankuasa Olimpik Ireland (OCI) iaitu membabitkan Pengarah Eksekutifnya, Stephen Martin, Setiausaha Agung OCI, Dermot Henihan dan Bendahari Kevin Kilty.

Pasport mereka juga dirampas pihak berkuasa Brazil bagi membantu melengkapkan siasatan.

Mahkamah Brazil juga mengarahkan merampas pasport milik pemangku Presiden OCI, Willie O'Brien serta timbalannya, John Delaney dan pembantu peribadi OCI, Linda O'Reilly, namun tiga individu berkenaan sudah meninggalkan Brazil.

Mahkamah Brazil belum menetapkan tarikh sebutan kes dan ketika ini Hickey, 71, ditempatkan di sebuah penjara di Rio dengan kawalan maksimum. - Reuters

Berita Harian X