Khamis, 25 Ogos 2016 | 3:46pm

Untung suku kedua Axiata Group susut 63 peratus


PENGARAH Pengurusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Presiden Kumpulan Axiata Group Berhad (Axiata) Tan Sri Jamaludin Ibrahim ketika sidang media kewangan suku kedua Axiata di Menara Axiata hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Untung bersih Axiata Group Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2016 merosot 63.1 peratus kepada RM232.268 juta berbanding RM629.624 juta yang dicatat pada suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat 12.8 peratus kepada RM5.310 bilion berbanding RM4.707 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Axiata Group mencatat keuntungan bersih terkumpul berjumlah RM633.468 juta bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2016, mewakili penyusutan 45.7 peratus berbanding RM1.164 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan terkumpul untuk tempoh setengah tahun meningkat 9.1 peratus kepada RM10.318 bilion berbanding RM9.457 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata sebab utama menyumbang kepada penyusutan keuntungan kumpulan ialah penyusutan ketara nilai ringgit yang memberi kesan kepada tukaran wang asing, iaitu membabitkan nilai sekitar RM300 juta, sungguhpun ia hanyalah masuk kira perakaunan dan tidak membabitkan tunai sebenar.

Faktor lain katanya, termasuk pelunasan dan kos kewangan.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi sukuan kumpulan itu di sini hari ini.

Jamaludin berkata, dengan kepelbagaian portfolio perniagaan merentas Asia, Axiata Group mencatat pendapatan lebih baik disebabkan terutamanya oleh pengukuhan lebih pantas daripada jangkaan berkaitan pengambilalihan Ncell Pte Ltd yang selesai pada April 2016.

Pengambilalihan pengendali mudah alih nombor satu Nepal itu membabitkan pertimbangan tunai AS$1.37 bilion (RM5.67 bilion), yang mana ia turut menyumbang kepada kos tukaran wang asing.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kemasukan ke dalam pasaran menara pemancar Myanmar lewat 2015, menyaksikan portfolio edotco Group Sdn Bhd (edotco), penyedia perkhidmatan infrastruktur komunikasi bersepadu pertama di Asia, kini merentas lima pasaran, iaitu Malaysia, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka dan Myanmar.

"Ia juga dalam proses memulakan operasi di Pakistan," katanya.

Setakat 30 Jun 2016, jumlah menara telekomunikasi yang diuruskan edotco berjumlah hampir 16,800 unit, peningkatan sekitar 28 peratus dalam tempoh dua tahun, menjadikannya syarikat menara telekomunikasi bebas ke-12 terbesar dunia, katanya.

Berita Harian X