Khamis, 25 Ogos 2016 | 4:13pm

500 peserta jayakan Merdeka Run


PENGERUSI Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Zainudin Ahmad (tengah, bertopi) melaungkan kata-kata keramat ' Merdeka " bersama kira-kira 500 pelajar pada Program Larian Merdeka 2016 anjuran Institut Latihan Perindustrian (ILP) di perkarangan pejabat Sinar Harian, Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB) menjayakan program Merdeka Run sempena menyambut hari kemerdekaan.

Pengarah ILPKB, Zainudin Ahmad, berkata program berkenaan diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di kalangan pelajar dengan mengenang jasa pejuang terdahulu.

"Kita ingin mendidik pelajar supaya lebih memahami erti kesusahan dan menghargai kemerdekaan di samping program larian serta berbasikal ini secara tidak langsung menyihatkan tubuh badan," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Zainudin berkata, larian Merdeka Run itu membabitkan jarak sejauh 12 kilometer, yang bermula pada jam 9 pagi tadi.

Selain itu, katanya, ILPKB turut mengedar risalah mengenai program lain yang diadakan seperti pertandingan Kreativiti, Inovasi dan Teknologi (KRISTEK 2016) yang akan diadakan di ILPKB pada 29 dan 30 Ogos ini.

"Kami turut menjemput semua mahasiswa universiti awam dan swasta serta pelajar Kolej Vokasional di seluruh negeri ini untuk menghadiri program berkenaan," katanya.

Antara program yang diadakan sempena KRISTEK 2016 adalah ceramah mengenai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), pameran, pertandingan serta jualan.

"Melalui program ini juga kami dapat memperkenalkan lagi ILPKB kepada masyarakat di samping menggalakkan anak muda menyertai ILPKB untuk belajar mengenai kemahiran," katanya.

Berita Harian X