Khamis, 25 Ogos 2016 | 10:01pm
Nur Aisyah Dalila Abd Rahim, 2 bulan (dari kanan) yang menghidap penyakit jantung berlubang bersama ibunya Rositah Kames, 39 (dua dari kanan) dan bapanya Abd Rahim Mohd Napiah, 43 pada Media Prima- NSTP Humanitarian Fund di Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Bayi perempuan perlu RM30,000 untuk pembedahan saluran pernafasan

Nur Aisyah Dalila Abd Rahim, 2 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang pada Media Prima- NSTP Humanitarian Fund di Gleneagles Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan memerlukan dana RM30,000 untuk membiayai kos rawatan pembedahan saluran pernafasan secara normal (BT Shunt) di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Pembedahan ke atas Nur Aisyah Dalila Abd Rahim, dua bulan, perlu dilakukan secepat mungkin bagi membolehkannya bernafas dengan sempurna.

Ibunya, Rositah Kames, 39, berkata anak keduanya itu turut menghidapi jantung berlubang dan masalah saluran tersumbat sejak lahir.

"Nur Aisyah perlu melakukan pembedahan saluran ini terlebih dahulu kerana dia kini hanya bergantung kepada ubat untuk membolehkan dia bernafas dengan baik.

"Jika tidak, keadaannya akan menjadi biru kerana oksigen tidak sampai ke otak di sebabkan masalah di saluran terbabit," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Rositah yang juga suri rumah berkata, anaknya itu juga mempunyai dua lubang di jantungnya yang bersaiz kecil dan besar.

"Bagi pembedahan jantung berlubang dan saluran tersumbat itu pula akan dilakukan pada usia Nur Aisyah setahun ke atas dengan beratnya perlu mencecah kira-kira 10 kilogram," katanya.

Sementara itu, bapa Nur Aisyah, Abd Rahim Mohd Napiah, 43, yang bekerja di bilik kawalan Rapid KL, berkata beliau dan keluarganya reda akan keadaan anaknya itu tetapi tetap bersyukur dengan bantuan orang ramai.

"Saya berharap Nur Aisyah dapat hidup seperti kanak-kanak normal yang lain," katanya.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima Berhad-NSTP di akaun Maybank, 514105323170 atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang.

Cek dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima di alamat Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi 03-27148977.

Berita Harian X