X
Jumaat, 26 Ogos 2016 | 4:28pm

Empangan Congok terus kritikal

KEADAAN paras air di Empangan Congok, Mersing yang semakin menyusut akibat cuaca panas dan kemarau. - Foto Ikhwan Muhammad.
KEADAAN paras air di Empangan Congok, Mersing yang semakin menyusut akibat cuaca panas dan kemarau. - Foto Ikhwan Muhammad.

JOHOR BAHRU: Empangan Congok di Mersing yang menyalurkan bekalan air mentah kepada loji rawatan air (LRA) Tenglu, dikesan semakin kritikal berikutan paras air semakin merosot dan tidak boleh menampung keperluan loji terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Johor (SAJ), Abdul Wahab Abdul Hamid, berkata Sungai Mersing yang menyalurkan air mentah ke LRA Sungai Mersing bagi membantu bekalan LRA Tenglu, turut mengalami penyusutan dan tidak berupaya membekalkan air terawat mencukupi.

Setakat hari ini, katanya, pengolahan pada pengeluaran kedua-dua loji bertujuan untuk saling menyokong.

"Hari ini, paras empangan Congok ialah 2.70 meter, merosot 0.04 meter sehari berbanding paras kritikal pada 4.50 meter.

"Bekalan air berjadual bagi sebahagian kawasan Mersing masih diteruskan sehingga 15 September ini dengan frekuensi `dua hari tiada bekalan dan satu hari ada bekalan' merangkumi 8,200 akaun pengguna.

"Bagaimanapun, tempoh frekuensi berkenaan bergantung kepada keadaan semasa sungai dan empangan. Justeru, pengguna yang menerima bekalan air pada waktu berjadual mungkin hanya mendapat air kurang dari 24 jam," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Wahab berkata, keadaan semasa kedua-dua sumber air mentah berkenaan tidak stabil dan SAJ berusaha mengagihkan air terawat terhad kepada pengguna, sama ada menerusi saluran paip atau bantuan lori tangki bergerak.

Katanya, SAJ turut meletakkan 85 tangki statik dan sembilan lori tangki bergerak bagi membantu mengagihkan bekalan air terawat bagi kawasan terbabit.

"Bantuan lori tangki dan tangki statik adalah diberi keutamaan kepada pusat dialisis, rumah ibadat, hospital, asrama sekolah, kematian dan acara keraian," katanya.

Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat boleh menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1-800-88-7474 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 019-772 7474 atau menerusi emel [email protected] yang beroperasi 24 jam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X