Jumaat, 26 Ogos 2016 | 4:41pm

Kibar Jalur Gemilang yang besar

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) meminta kerjasama pemilik premis perniagaan di kawasan pentadbirannya untuk mengibarkan Jalur Gemilang lebih besar sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Fadzilla Salleh, berkata kempen kibar Jalur Gemilang di sekitar bandar ini lebih meriah dengan adanya bendera bersaiz besar di setiap bangunan.

Beliau berkata, syarikat korporat, swasta dan pemilik premis perniagaan mampu mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz besar sebagai tanda cintakan negara.

"Ia akan memberi lebih impak dalam menyemarakkan semangat cintakan negara, sekali gus memeriahkan sambutan kemerdekaan di bandar ini.

"Setakat ini MPK memasang bendera di jalan utama terutama di padang Kemunting di sini, yang dijadikan sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas saranan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang mengingatkan rakyat di seluruh daerah supaya mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan 31 Ogos ini.

Berita Harian X