Jumaat, 26 Ogos 2016 | 9:15pm

Untung sebelum cukai Pos Malaysia naik 28 peratus


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berucap pada sidang media mesyuarat agung tahunan POS Malaysia di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM41.993 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2016, meningkat 28 peratus berbanding RM32.684 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya melonjak 6.5 peratus kepada RM415.869 juta daripada RM390.366 juta yang diraih pada suku pertama 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata peningkatan pendapatan itu sebahagian besarnya disumbangkan pertumbuhan kukuh perniagaan penghantaran.

Katanya, syarikat kekal berdaya tahan menghadapi persekitaran operasi yang mencabar ketika ini serta terus fokus dalam program transformasi kepada perkhidmatan logistik sehenti bersepadu sepenuhnya.

"Ia akan dilaksanakan menerusi langkah korporat pengambilalihan Kuala Lumpur Airport Services Sdn Bhd (KLAS). Pengambilalihan itu akan menyokong inisiatif strategiknya yang sedang agresif dilaksanakan bagi meningkatkan pengalaman pengguna, terutama menerusi pusat sehenti e-dagang 24/7 e-Commerce diperkenalkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengenalan baharu meliputi meliputi Pos Laju EziBox (perkhidmatan lokar kiriman barang), Pos Laju Prepaid Dropbox (kemudahan drop-off), Pos Laju EziDrive-Thru, Pos Laju Kiosks serta kemudahan dipertingkat di semua Pusat Pos Laju serta pejabat pos seluruh negara.

73 dibaca
Berita Harian X