Sabtu, 27 Ogos 2016 | 12:03am
SEKOLAH pelarian Syria di Wangsa Maju.
SEKOLAH pelarian Syria di Wangsa Maju.

Anak pelarian belajar guna silibus Cambridge


KUALA LUMPUR: Sekolah kanak-kanak pelarian tajaan Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) dekat Wangsa Maju di sini, menggunakan silibus Cambridge, bagi memastikan semua murid sekolah itu mempunyai masa depan yang cerah.

Jasmin As Syam Education Centre yang beroperasi pada tingkat dua bangunan rumah kedai di Seksyen 1, Wangsa Maju itu, kini menjadi pusat ilmu kepada 50 kanak-kanak pelarian berumur antara lima hingga 13 tahun termasuk 15 daripada Syria.

Ketua gurunya, Hasrol Sazli, 32, berkata sekolah itu beroperasi menggunakan dana MLLFS sejak Januari 2016 menggunakan silibus The International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) yang dibangunkan di Cambridge.

Hasrol yang fasih berbahasa Arab, berkata melalui silibus itu kurikulum pengajiannya diajar mengikut standard IGCSE bagi membolehkan semua pelajarnya memasuki universiti selepas menduduki peperiksaan khas ketika berusia 16 tahun.

"Di sini kanak-kanak pelarian Syria, Palestin, Iraq dan Yaman, diajar subjek Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Fardu Ain. Kita ikut standard IGCSE Cambridge untuk memudahkan mereka layak masuk universiti kelak," katanya.


KANAK- kanak pelarian Syria sedang belajar.


SALAH satu aktiviti kanak-kanak pelarian Syria dikelas mereka.

Kanak-kanak pelarian termasuk 15 aanak imigran dari Syria, yang dibawa masuk ke Malaysia di bawah program perlindungan sementara sejak Mei lalu, hadir ke sekolah dari Isnin hingga Jumaat dengan bayaran minimum RM50 sebulan.

"Yuran asal adalah RM150. Bakinya (RM100) ditanggung MLLFS dengan RM50 sebagai bayaran komitmen ibu bapa murid pelarian ini," katanya menegaskan MLLFS turut menyediakan kemudahan pengangkutan kepada semua pelajar terbabit.

Ketika mengunjungi sekolah itu, kanak-kanak yang belajar di situ kelihatan mesra dengan sebilangannya bercakap dengan wartawan BH sambil memberitahu betapa mereka gembira dapat belajar selepas melalui konflik dan peperangan.

"Terima kasih. Saya harap dapat pulang ke Syria dan kamu akan melawat kami nanti," kata Ahmad Bashar Al Aydi, 11, dari Kem Yarmouk, Syria, yang kini fasih berbahasa Inggeris sejak mengikuti persekolahan di situ.


ANTARA hasil kerja kanak-kanak pelarian Syria.

Ahmad Bashar berlindung di Malaysia bersama ayah dan adiknya sejak penghujung 2012 dan kali terakhir kanak-kanak itu bertemu ibunya, Rawiyah Ahmad di Lubnan, kira-kira empat tahun lalu.

Sukarelawan dari Aleppo, Muhammad Hassan Yahya, 17, yang berada di Malaysia sejak lima tahun lalu amat bersyukur kerana kerajaan dan rakyat Malaysia bersifat terbuka kepada pelarian Syria dan membenarkan sekolah swasta itu dibuka.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana bawa pelarian Syria di Jordan ke sini sehingga (peperangan) selesai. Pendidikan amat penting untuk masa depan anak-anak Syria," kata Muhammad yang kini turut fasih berbahasa Melayu.

Sekolah As Syam mempunyai lima guru dari Malaysia dengan majoritinya fasih berbahasa Arab bagi membolehkan mereka mudah berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang kebanyakannya trauma akibat peperangan dan konflik.

123 dibaca
Berita Harian X