Sabtu, 27 Ogos 2016 | 8:44pm
Penunggang motosikal, Muhammad Redzuan Khazali, 26, yang maut dalam nahas itu. - Foto ihsan pembaca

Penunggang motosikal maut ditimbus pasir

Lori tanah terbalik menghempap kereta dan motosikal (terlindung bawah badan lori) dalam kemalangan maut di lampu isyarat Kampung Titi Cangwang, Langkawi, hari ini. - Foto ihsan pembaca

LANGKAWI: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki dihempap sebuah lori pasir yang terbalik di persimpangan lampu isyarat Kampung Titi Cangwang di sini, hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Redzuan Khazali, 26, dari Kampung Lubok Setul di sini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai lemas selepas tertimbus pasir lori terbabit dalam kejadian jam 1.25 tengah hari itu.

Katanya, mangsa yang cedera, Saidon Ali, 62, hanya mengalami kecederaan di jari tangan kiri dan lengan tangan kanan.

"Nahas berlaku apabila lori pasir dari Simpang Kenyum cuba membelok ke arah Padang Matsirat sebelum terbabas dan terbalik lalu menghempap dua kenderaan itu.

"Penunggang motosikal tertimbus dalam pasir manakala pemandu kereta cedera apabila keretanya dihempap lori," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Mahadhir berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Langkawi (HL) untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X