Sabtu, 27 Ogos 2016 | 10:59pm

Penderma darah di AS perlu jalani saringan Zika


Ujian virus Zika di Amerika Syarikat. - Foto thepeninsulaqatar.com

MIAMI: Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) berkata, penderma darah perlu menjalani ujian virus Zika ketika wabak penyakit bawaan nyamuk itu sedang merebak di negara itu.

Langkah itu susulan semakan semula peraturan Pentadbiran Dadah dan Ubatan (FDA) sebelum ini yang dikeluarkan Februari lalu yang mencadangkan pemeriksaan aktif darah didermakan hanya dalam "kawasan aktif dengan jangkitan virus Zika."

Pengarah Pusat Penilaian Biologi dan Penyelidikan FDA, Peter Marks, berkata oleh kerana "masih banyak ketidakpastian berhubung sejauh mana jangkitan Zika," cadangan untuk menguji semua darah didermakan "akan membantu memastikan bekalan darah selamat boleh diperoleh" untuk semua orang.

Menurut FDA, perlindungan kebangsaan lebih ketat diperlukan oleh kerana bukti muncul Zika boleh dipindahkan ketika hubungan seksual dan mereka yang dijangkiti sering tidak menunjukkan sebarang tanda.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC), lebih 2,500 penduduk di negara itu disahkan dijangkiti Zika, dengan lebih 9,000 kes di Puerto Rico. Kebanyakan kes membabitkan mereka yang dijangkiti ketika melakukan lawatan ke luar negara.

Marks berkata, sehingga kini, darah sumbangan penderma sudah diuji di Florida dan Puerto Rico serta sekurang-kurangnya satu unit darah di Florida didapati mengandungi virus Zika.

Menurut FDA, ujian darah akan terus diwajibkan sehingga risiko jangkitan virus menerusi pemindahan darah dikurangkan. - AFP

54 dibaca
Berita Harian X