Ahad, 28 Ogos 2016 | 9:36am

Perintah ISA: Tun M jangan jadikan orang lain kambing hitam


TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendedahkan surat perintah untuk tindakan terhadapnya itu ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, katanya, bekas Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab terhadap ehwal keselamatan dalam negara ketika itu berbohong apabila menafikan peranannya di sebalik pengeluaran perintah berkenaan.

"ISA ini sememangnya bidang kuasa Menteri Dalam Negeri yang ketika itu adalah Dr Mahathir. Saya tidak boleh terima jika beliau menafikan pembabitannya menandatangani perintah terbabit.

"Saya salah seorang tahanan ISA ketika Operasi Lalang pada 1987. Ketika itu memang Dr Mahathir yang tandatangan perintah terbabit, takkan nak menafikannya pula?," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bayan Baru, malam tadi.

Baru-baru ini, sebuah blog didakwa melaporkan Dr Mahathir menafikan beliau menandatangani perintah penahanan ISA sepanjang menjadi Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, sebaliknya menurunkan kuasa itu kepada timbalannya.

Ia mengundang reaksi anak bekas timbalan menteri berkenaan, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, iaitu Datuk Megat Fairouz Junaidi yang kesal dengan tuduhan terbabit kerana mereka sekeluarga yakin segala tindakan Allahyarham ketika memegang jawatan itu dibuat selepas merujuk dan mendapat persetujuan 'orang atasan'. 

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO melihat penafian oleh Dr Mahathir itu antara lain bagi menjadikan Megat Junid sebagai 'kambing hitam', selain merealisasikan kerjasama dengan pakatan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menggesa Dr Mahathir berhenti mendesak Najib mentadbir negara ini mengikut telunjuknya, beliau mendakwa, sepanjang menjadi Perdana Menteri keempat, Dr Mahathir tidak mahu mendengar nasihat orang lain.

"Nak kata zaman beliau tak ada duit hilang tipulah. Tengok balik sejarah PERWAJA yang hilang dana berbilion ringgit, tapi didiamkan untuk menyelamatkan pentadbiran beliau," katanya.

Berita Harian X