Ahad, 28 Ogos 2016 | 1:44pm

Idzham nikahi pramugari semalam


MAJLIS resepsi Idzham Ismail dan Bella di One City Subang, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Pelakon yang dikenali dengan watak 'Panjang' dalam drama bersiri popular Juvana, Idzham Ismail menamatkan zaman bujangnya dengan pramugari, Siti Nur Abilah atau Bella, semalam.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Shah Alam, pada sebelah pagi diikuti resepsi di One City Subang, malam tadi.

Idzham dan Bella mengambil keputusan berkahwin selepas lapan bulan mengenali hati budi masing-masing.

Hari ini, pasangan ini juga sudah terbang ke Korea untuk berbulan madu.

Idzham mengenali Bella sejak Julai tahun lalu. Bermula sekadar menyukai gambar masing-masing di laman Instagram, mereka akhirnya berjumpa kira-kira dua bulan kemudian.

"Alhamdulillah selesai sudah majlis kami. Saya harap semua akan mendoakan kebahagiaan kami hingga ke Jannah. Walaupun baru empat tahun membina nama dalam bidang lakonan, saya percaya dengan rezeki selepas berkahwin," kata Idzham.

Mengenai isterinya, Idzham memberitahu dia cukup selesa dengan wanita yang bertugas di Arab Saudi itu.

"Selama dengannya, dia buat saya rasa selesa. Saya dan isteri akan meneruskan kerjaya masing-masing seperti biasa." katanya.

Berita Harian X