Ahad, 28 Ogos 2016 | 3:18pm

Sultan Johor lancar pelan induk One Bukit Senyum


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar melihat model MBJB pada majlis pelancaran Pelan Induk One Bukit Senyum dan Pecah Tanah Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Pelan Induk One Bukit Senyum dan Pecah Tanah Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.

Yang turut berangkat, anakanda baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin; Pengerusi Eksekutif Astaka Padu Sdn Bhd, Datuk Daing A Malik Daing A Rahaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu Sdn Bhd, Datuk Zamani Kasim, berkata projek yang dijangka siap menjelang tahun 2021 itu akan meletakkan ibu negeri Johor sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Zamani berkata, pelan induk One Bukit Senyum membabitkan pembinaan hotel lima bintang dan kediaman bertaraf tinggi, kompleks beli-belah, pangsapuri perkhidmatan serta bangunan pejabat gred A.

Katanya, terletak di tengah bandar raya, keseluruhan projek pembangunan hartanah itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.4 bilion.

"One Bukit Senyum tidak boleh menjadi projek biasa. Ia adalah misi kami untuk menawarkan pelan induk yang mampu menjadi ikonik, elegan, moden, bijak, hijau dan selamat, selain secara keseluruhan boleh berhubung dan bersesuaian dengan keperluan penduduk," katanya.

Berita Harian X