Isnin, 29 Ogos 2016 | 12:41am

OBS, projek mega terbaharu di Johor Bahru


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Pengerusi Eksekutif Astaka Padu, Datuk Daing A Malik Daing A Rahaman (dua dari kiri) melihat model Menara MBJB ketika majlis pelancaran Pelan Induk One Bukit Senyum dan pecah tanah Menara MBJB di tapak pembinaan One Bukit Senyum, Johor Bahru. - Foto NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHARU: One Bukit Senyum (OBS), projek pembangunan bercampur ikonik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.4 bilion, bakal menjadi pusat perniagaan utama Bandaraya Johor Bahru apabila siap kelak menjelang tahun 2021.

 

Projek pembangunan OBS di tapak seluas 4.80 hektar di Bukit Senyum, dekat Johor Bahru, dibangunkan oleh Astaka Holdings (Astaka) dalam dua fasa dengan fasa pertama bermula pada tahun 2013.  

 

Pelancaran Pelan Induk OBS dan Majlis Pecah Tanah Menara Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Pengasas dan pemegang saham utama Astaka, Datuk Daing A Malik Daing A Rahaman.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Datuk Zamani Kasim, berkata OBS menjadi antara projek mega yang dibangunkan di Johor dan akan menjadi komponen penting dalam transformasi Johor Bahru menjadi bandar raya bertaraf dunia.

 

Beliau berkata, pelan induk OBS membabitkan pembinaan hotel lima bintang dan kediaman bertaraf tinggi, kompleks beli-belah, pangsapuri perkhidmatan serta bangunan pejabat gred A.

 

"One Bukit Senyum tidak boleh menjadi projek biasa kerana misi kami mahu menawarkan pembangunan yang ikonik, elegan, moden, dilengkapi kemudahan keselamatan yang terbaik, menerapkan ciri bandar pintar dan mesra alam.

 

"Projek yang dilengkapi keperluan moden terkini diperlukan masyarakat itu bukan sahaja memainkan peranan dalam proses bandar raya ini, malah mampu meletakkan Johor Bahru sebagai metropolis utama di wilayah ini," katanya berucap pada majlis berkenaan.

 

Zamani berkata, fasa pertama OBS membabitkan pembangunan dua projek kediaman ikonik tertinggi di Asia Tenggara dikenali sebagai The [email protected], masing-masing dengan ketinggian 65 dan 70 tingkat dengan jumlah unit keseluruhan sebanyak 438.

 

"Alhamdulillah, saya gembira mengumumkan bahawa setakat ini, sebanyak 71 peratus projek ikonik dan unit kediaman mewah sudah dijual. Pembinaan menara A dan B kini sudah mencapai tingkat 37 serta 36, masing-masing di landasan yang betul untuk siap pada akhir 2017," katanya.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zamani berkata, Astaka dengan kerjasama Syaling Syabas Sdn Bhd bakal membangunkan projek perbandaran bersepadu di tapak seluas 146 hektar di Pengerang dalam usaha menyokong projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Berita Harian X