Isnin, 29 Ogos 2016 | 2:30pm

Tindakan tegas terhadap pelajar tajaan MARA sertai perhimpunan

MENTERI Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob . - Foto Hafiz Sohaimi

KOTA BHARU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mengambil tindakan tegas jika terdapat pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyertai perhimpunan #TangkapMO1 di ibu negara, kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata sehingga kini, pihaknya belum mendapat sebarang maklumat berhubung pembabitan pelajar tajaan mereka dalam perhimpunan berkenaan.

"Sekiranya ada, kita akan menyiasat secara terperinci sebelum tindakan tegas diambil terhadap pelajar berkenaan. Sudah jelas bahawa mana-mana pelajar tajaan MARA tidak dibenarkan menyertai perhimpunan haram," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Moh Ngeteh Hari Kebangsaan anjuran KKLW di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Pada majlis itu, seramai lebih 100 peserta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang termasuk pegawai Pejabat Pendidikan Negeri, guru dan pelajar.

Program julung kali diadakan serentak di seluruh negara itu membabitkan lebih 500,000 kakitangan kementerian dan agensi di bawah KKLW termasuk pelajar tajaan MARA di luar negara.

Berita Harian X