Isnin, 29 Ogos 2016 | 4:12pm

Dua peniaga dituduh tipu tuntutan GST

IPOH: Dua peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 tuduhan membuat tuntutan palsu dalam Penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak September tahun lalu sehingga Mei lalu.

Ahmad Zawawi Abdul Rahim, 49, dari Taman Silibin Mewah di sini menghadapi tujuh pertuduhan, manakala Mok Siew Khuen, 49, dari Taman Pertama di sini, menghadapi lima pertuduhan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Ahmad Zawawi dituduh membuat tuntutan palsu keseluruhan berjumlah RM588,808 bagi tempoh bercukai daripada 1 Jun tahun lalu sehingga 30 April lalu.

Siew Khuen pula membuat tuntutan palsu keseluruhan berjumlah RM356,314.50 bagi tempoh bercukai daripada 1 Disember tahun lalu sehingga 31 Mac lalu.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang membawa hukuman minimum 10 kali ganda amaun tuntutan dan maksimum 20 kali ganda atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan.

Ikmal Hishan membenarkan jaminan RM700,000 dengan seorang penjamin kepada Ahmad Zawawi dan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin kepada Siew Khuen, manakala semua kes disebut semula pada 30 September depan.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Rajatoran dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili NP Ramachandran dan Awatif Ahmad Bashir.

Berita Harian X