Isnin, 29 Ogos 2016 | 4:33pm

KETENGAH bina rumah percuma untuk golongan miskin

PENGURUS Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Omar Ismail (enam kanan) bersama Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam (tujuh kanan) bersama pelajar dan penduduk mengibarkan jalur gemilang sempena program Moh Ngeteh Sambutan Hari Kebangsaan Kementerian Kemajuan Luar Wilayah di Bandar Al Muktaffi Billah Shah Dungun. STR/Rosli Ilham

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) akan terus membina rumah percuma kepada golongan miskin yang tinggal di wilayah terbabit.

Pengurus Besarnya, Omar Ismail, berkata setiap tahun pihaknya akan membina 10 rumah berharga RM50,000 untuk diberikan kepada golongan terbabit.

Katanya, pembinaan rumah itu bergantung kepada peruntukan diterima daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

"Selain membina rumah,  kita turut membaik pulih rumah penduduk miskin yang rosak," katanya pada program Moh Ngeteh Sambutan Hari Kebangsaan 2016  di Bandar Al Muktaffi Billah Shah, hari ini.

Program terbabit yang dihadiri 3,000 penduduk dan pelajar sekolah dirasmikan Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Din Adam.

Omar berkata, KETENGAH juga sedang rancak melaksanakan projek pembangunan bercampur dengan anggaran kos RM50.5 juta di atas tanah berkeluasan 9.3 hektar.

"Projek pembangunan ini membabitkan pembinaan lebih 200 unit rumah berharga sekitar RM150,000 seunit dengan dilengkapi ruang niaga, pasar raya, pejabat dan stesen minyak.

"Pada masa ini, kerja tapak sedang rancak dilaksanakan sebelum pemaju memulakan kerja pembinaan pada tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun," katanya.

Omar berkata, pihaknya juga akan membina 200 unit rumah kos rendah melalui Projek Bina Negara (PBN) dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, pembinaan semua jenis rumah terbabit mencapai matlamat KETENGAH menyediakan penempatan kepada semua golongan di wilayah itu.

Berita Harian X