Isnin, 29 Ogos 2016 | 6:45pm

KKLW cadang wujud PIPOA mengikut zon

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai pameran di Karnival Kebudayaan Orang Asli 2016 di Dataran Muzium Orang Asli, Jeli. - Foto Mohamed Sahidi Yusoff
MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat gerai pameran di Karnival Kebudayaan Orang Asli 2016 di Dataran Muzium Orang Asli, Jeli. - Foto Mohamed Sahidi Yusoff

JELI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bercadang mewujudkan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli Cemerlang (PIPOA) di tiga zon iaitu Kelantan dan Terengganu (timur), Johor (selatan) dan Perak (utara).

Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha itu bagi memastikan segala keperluan dan bantuan pendidikan pelajar cemerlang Orang Asli dapat disalurkan lebih berkesan.

"Pada masa ini, PIPOA hanya terdapat di Rompin, Pahang yang ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu. PIPOA ditubuhkan bagi menempatkan pelajar Orang Asli cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Zon PIPOA hanya diwujudkan di negeri yang dikenal pasti mempunyai bilangan pelajar Orang Asli paling ramai dan PIPOA penting dalam usaha mengurangkan masalah keciciran pelajaran dalam kalangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival dan Muzium Orang Asli di dataran muzium berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Dr Mohd Jailani Mohd Yunus.

Ismail Sabri berkata, masalah keciciran pelajaran dalam kalangan Orang Asli masih tinggi iaitu pada tahap 12 peratus terutama apabila mereka mula memasuki peringkat sekolah menengah.

"Sehubungan itu, KKLW dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mewujudkan Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dari Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga di beberapa sekolah sejak tahun 2010.

"Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kemajuan pendidikan Orang Asli dan ia selaras dengan usaha mengarusperdanakan kehidupan mereka dalam pelbagai bidang," katanya.

Berita Harian X