Selasa, 30 Ogos 2016 | 12:03am

Misi 'kapcai' ke Tanah Suci

MALAYSIA mendapat kembali kuota asal haji seramai 27,800 jemaah berbanding 22,230 orang, bermula tahun ini.

MENGHARUNGI perjalanan sejauh lebih 13,000 kilometer merentasi lapan negara dari Malaysia ke tanah suci Makkah, dengan hanya menunggang motosikal bukanlah satu misi yang mudah untuk dilaksanakan.

Malah, tidak semua mampu melakukannya apatah lagi motosikal yang digunakan bukan berkuasa tinggi, sebaliknya hanya motosikal kapcai jenama tempatan, Modenas GT128.

Bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mustahil buat bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Wahid, 45, dan empat rakannya bagi menjayakan misi mereka mengembara, seterusnya, menunaikan haji menerusi Ekspedisi Kembara Musafir Haji, 'Ride To Hajj 2016'.

Wazi berkata, matlamat mereka menjadikan pengalaman berharga itu sebagai inspirasi kepada diri masing-masing bahawa kenderaan berkuasa rendah juga mampu menjadi medium untuk mencapai visi dan misi paling bermakna dalam hidup mereka.

Di sepanjang perjalanan itu juga, mereka singgah di beberapa tempat dan bertemu dengan penduduk setempat selain melawat lokasi menarik setiap negara yang dilalui.

"Melalui ekspedisi pengembaraan ini, pelbagai pengalaman diperoleh dari segi tatacara kehidupan masyarakat Islam di sepanjang perjalanan dilalui. Kami turut berkongsi peranan negara kita untuk mengukuhkan perpaduan ummah," katanya yang turut membuka satu akaun Facebook, 'Ride To Hajj' bagi berkongsi perkembangan pergerakan konvoi terbabit.

Mengenai cabaran Wazi berkata, konvoi terpaksa berpatah balik ke Bangkok pada 15 Ogos lalu ketika sudah memasuki Myanmar berikutan banjir yang melanda negara itu.

"Berikutan masalah itu, konvoi juga tidak dapat melalui India dan terpaksa menggunakan kargo dari Bangkok terus ke Islamabad, Pakistan sebelum meneruskan perjalanan," katanya yang tiba di Pakistan pada 19 Ogos lalu.

WAZI (tengah) bersama peserta konvoi (darikiri) Meor Azahar, Azman, Napiah dan Othman sebelum majlis pelepasan konvoi di Menara Dato Onn, PWTC.

INFO:

* 5 peserta

* Pertama di Malaysia menggunakan motosikal berkuasa rendah ke Makkah

* Merentasi Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi

* Lebih 13,000 kilometer jarak perjalanan

* 35 hingga 45 hari tempoh masa perjalanan

* Dijangka tiba di Makkah pada 3 September

* Konvoi dijangka bergerak pulang ke Malaysia pada 24 September

* Menggunakan lima motosikal Modenas GT128 edisi Harimau Malaya

* Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai penaung

* Motosikal, alat ganti, peralatan keselamatan menunggang, bahan pelincir ditaja Modenas, GIVI Malaysia dan Castrol Malaysia

* Konvoi berlepas 29 Julai 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

* Perasmian dan pelepasan konvoi disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PERJALANAN (KM)

* Malaysia (PWTC) - Thailand: 2,375

* Thailand- Myanmar: 1,509

* Myanmar- India: 4,410

* India- Pakistan: 1,549

* Pakistan- Iran: 933

* Iran- UAE: 455

* UAE- Arab Saudi: 1,789

PESERTA Misi 'kapcai' ke Tanah Suci .

PROFIL PESERTA:

1.   Nama: Wazi Abdul Hamid

      Umur: 42 tahun

      Asal: Pulau Pinang

      Latar belakang:

      * Bekas pelumba motosikal negara dan juara Asia kategori Expert Kejuaraan Cub Prix 1996

      * Pernah menjelajah menunggang motosikal ke Eropah, Uzbekistan, Asia Tenggara dan Borneo

      * Ikon Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

   

2. Nama: Meor Azahar Meor Raflan

    Umur: 43 tahun

     Asal: Bota Kiri, Perak

     Kerjaya: Kontraktor

    Latar belakang:

   * Berpengalaman menjelajah menunggang motosikal berkuasa tinggi ke Uzbekistan, Myanmar, Asia Tenggara, China dan Borneo

3.   Nama: Hanafiah Mat Noor  

      Umur: 50 tahun

      Asal: Matang, Perak

      Kerjaya: Pengusaha ladang sawit

      Latar belakang: 

      * Pernah menyertai kembara umrah pada tahun 2010 dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi melalui negara China, Kazakhtan , Iran, Syria, Eropah dan Asia Tenggara

4.   Nama: Othman Darus

      Umur: 46 tahun

      Asal: Pulau Pinang

      Kerjaya: Anggota JPJ

      Latar belakang:

      * Ahli sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi

5.   Nama: Azman Darus

      Umur: 52 tahun

      Asal: Seremban, Negeri Sembilan

      Kerjaya: Pengatur cara majlis

      Latar belakang:

      * Pernah menyertai Petronas Adventure Team pada tahun 1999, Silk Road (2002), Kembara Bumi Suci (2010) dan tiga kali menjelajah Borneo dan Eropah (2015).

      * Penasihat Ride To Hajj 2016.

Berita Harian X