Selasa, 30 Ogos 2016 | 12:10am
PEKERJA Restoran Aura Rasa membuat bebola bakso gila dibentuk sebelum dimasukkan ke dalam air ais bagi mengekalkan bentuknya sebelum direbus. - Foto Mohd Nazllie Zainul
BAKSO gila dijual pada harga RM30 manakala bakso separuh gila dengan harga RM15. - Foto Mohd Nazllie Zainul
JIKA di Indonesia terkenal dengan Bakso Astaghfirullah namun kini penggemar makanan berkenaan boleh menikmati bakso gergasi sama di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Nazllie Zainul
PEKERJA Restoran Aura Rasa menggunakan daging segar ditimbang terlebih dahulu sebelum dibentuk menjadi bebola besar. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Bakso Gila popular di KK

KOTA KINABALU: Bakso Gila dengan bebola daging seberat satu kilogram, menjadi identiti dan keistimewaan sajian Restoran Aura Rasa di Putra Square Fasa 2 dekat Putatan di sini.

Pengurus Restoran Aura Rasa, Fazrenie Mohd Noor, 36, berkata idea menghidangkan bakso seumpama itu adalah inisiatif pihaknya membawa kelainan kepada menu makanan popular dari Indonesia yang dihidangkan di situ.

Beliau berkata, pihaknya menghantar tukang masak restoran itu berkursus selama dua minggu di Jakarta, semata-mata mempelajari resepi dan penyediaan bakso terbaik sebelum mengolahnya mengikut cita rasa tersendiri.

"Ia dipanggil Bakso Gila kerana bebola daging dihidangkan bersama mi dan sup dihasilkan dalam bentuk lebih besar daripada kebiasaan dan sesuai dinikmati sehingga lapan orang.

FAZRENIE menunjukkan Bakso Gila yang menjadi viral di laman sosial Facebook. - Foto Mohd Nazllie Zainul

"Kami menggunakan satu kilogram daging segar untuk membentuk bebola ini, yang direbus sehingga 40 minit untuk memastikan ia masak sepenuhnya.

"Kami menggunakan daging segar setiap hari bagi memastikan kualitinya berbanding daging kisar sedia ada dalam pasaran," katanya.

Jika pelanggan mahu menikmati dalam saiz lebih kecil, mereka boleh mencuba Bakso Separuh Gila iaitu bebola daging seberat 500 gram yang sesuai dimakan untuk tiga hingga empat orang.

Hidangan Bakso Gila dijual pada harga RM30, manakala Separuh Gila pula berharga RM15.

Selain dua sajian itu, antara menu bakso lain dihidangkan di situ ialah bakso biasa, bakso keju, bakso goreng, bakso telur puyuh dan bakso sinalau (panggang) ayam mahupun daging.

Dibantu tujuh pekerja ketika ini, Fazrenie berkata, pengurusan restoran merancang meningkatkan bilangan menu berasaskan bebola daging sebagai pilihan kepada pelanggan.

KHAIRUL Syazwan (kiri) bersama ibu dan dua adiknya menikmati hidangan Bakso Gila yang dihidangkan di Restoran Aura Rasa. - Foto Mohd Nazllie Zainul

Pengunjung restoran, Khairul Syazwan Shahrani, 28, berkata dia datang ke restoran berkenaan semata-mata mahu mencuba Bakso Gila selepas melihat hidangan itu dipromosikan menerusi media sosial.

"Bagi saya Bakso Gila mempunyai rasa kuah yang cukup sempurna dengan rempah-ratus, selain bebola daging yang lembut. Harganya juga berpatutan kerana RM30 boleh makan tujuh hingga lapan orang," katanya.

INFO - Restoran Aura Rasa

  • RM30 untuk menu Bakso Gila iaitu mi bersama bebola daging seberat 1 kg
  • RM15 untuk Bakso Separuh Gila iaitu mi bersama bebola daging 500 gram
  • Restoran terletak di Putra Square Fasa 2, Putatan
  • Beroperasi Isnin hingga Sabtu 7 pagi hingga 7 malam
Berita Harian X