Selasa, 30 Ogos 2016 | 12:21am

'Buka tudung bukan nak buat perkara tak elok' - Uqasha

KUALA LUMPUR: Sejak mula membabitkan diri dengan dunia seni kira-kira empat tahun lalu sehinggalah sekarang, ada saja cerita panas dikaitkan dengan pelakon ini.

Daripada kisah cinta tidak kesampaian, kes putus tunang, berperang mulut dengan rakan seperjuangan hinggalah cerita dirinya mendedahkan aurat di pulau percutian, semuanya sudah dihadapi Uqasha Senrose, 25.

Kelmarin, sekali lagi namanya menjadi bualan hangat apabila dia membuat pengakuan kepada BH, mengenai dirinya yang kini tidak lagi bertudung.


UQASHA mengakui menanggalkan tudung yang dipakai sejak tiga tahun lalu didorong oleh perasaan hati yang enggan menipu lagi.

Selepas tiga tahun mengenakan imej menutup kepala, Uqasha membuat keputusan untuk kembali kepada penampilan asal.

Tentu saja cerita berkenaan mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat. Namun bagi pelakon ini, dia berbuat demikian bukanlah atas alasan sekali lagi sengaja mencipta kontroversi yang sudah seakan sinonim dengan dirinya.

"Saya sudah bersedia daripada segala segi dan aspek (apabila memutuskan untuk kembali kepada penampilan asal). Termasuk yang condong dengan negatif. Pastinya orang akan terus memberi kecaman, cakap macam-macam dan menjatuhkan hukuman. Saya reda.

"Tetapi jika ada yang anggap keputusan ini sebagai ruang membuka banyak lagi kontroversi, saya tak mencari semua itu.

"Jika boleh saya mahu menamatkan kontroversi, termasuk cerita gosip yang pernah bertebaran mengatakan saya tak pakai tudung di beberapa tempat," katanya.


SELEPAS tiga tahun mengenakan imej menutup kepala, Uqasha membuat keputusan untuk kembali kepada penampilan asal. - Foto BH Online

Uqasha berkata, keadaan itu juga bererti dirinya belum istiqamah untuk menutup aurat.

"Siapa tahu pada masa mendatang atau selepas berkahwin, saya akan menutup aurat dengan sepenuh hati," katanya.

Sebaik saja berita dirinya membuka hijab dan kembali kepada imej asal dimuat naik BH Online, Ahad lalu, ratusan komen tidak kurang kecaman dilemparkan netizen terhadap pelakon jelita berkenaan.

Impak pengakuan Uqasha memang besar, hinggakan sehari selepas berita sensasi itu diperkatakan, lebih 3,000 komen dilayangkan melalui akaun Facebook BH dengan 2,000 pengguna lagi berkongsi laporan berkenaan.

Sudah menduga reaksi begitu, Uqasha mahu berpegang kepada keputusan yang dibuat. Biar apapun yang terjadi, Uqasha akur dengan kesilapan dilakukannya.


UQASHA atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Senrose rela segala kesalahan diletakkan di atas bahunya dan enggan menuding jari kepada sesiapa.

Enggan menuding jari kepada sesiapa, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen rela segala kesalahan diletakkan ke bahunya.

Keberanian Uqasha mengakui menanggalkan tudung didorong oleh perasaan dan hati yang enggan lagi berada dalam kepura-puraan.

"Saya hanya manusia biasa. Dalam hidup ini, kita cuba dan berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam.

"Ada kalanya, dalam perjalanan itu kita kembali tergelincir. Saya sendiri tak lepas diuji, termasuk hal yang membabitkan hati. Mungkin juga selepas insiden putus tunang dan cinta dulu, saya tak fikir panjang dan mahu berubah.

"Mungkin juga Tuhan sudah membuka pintu hati saya. Barangkali juga hidayah hadir, tetapi saya tewas. Tiga tahun bukan tempoh yang pendek. Lainlah kalau tiga bulan saya pakai tudung dan membukanya.

"Sepanjang tempoh itu juga saya tak konsisten dalam hal bertudung. Saya seperti rasa terkongkong dan terkawal," katanya kepada BH.

Uqasha turut mengaku dirinya tidak kuat, apatah lagi berdepan dengan persekitaran dan teman-teman yang tidak berhijab.


UQASHA Senrose (kiri) kelihatan manis dan santun bertudung.

"Fikiran saya jadi berbolak-balik. Ya, saya manusia biasa. Tetapi hanya kerana saya bergelar artis, kecaman itu cukup hebat. Ceritanya hanya saya buka tudung.

"Benar, ia bukan perkara yang boleh dijadikan contoh. Tetapi saya bukannya hendak jadi manusia yang tiba-tiba ke arah negatif atau membuat perkara tak elok," katanya.

Uqasha sedar, keputusannya membuka tudung akan terus dihukum untuk beberapa tempoh waktu.

"Saya hanya mahu jadi diri sendiri. Dibenci atau disukai, saya sudah bersedia. Selepas tiga tahun, hanya pada ketika ini saya beranikan diri membuka tudung.

"Mungkin saya masih muda dan buat keputusan terburu-buru untuk bertudung. Pada saat saya fikir emosi tidak stabil dek tekanan peribadi dan kisah cinta kecundang, saya cuba berbalik kepada Tuhan.


UQASHA akur dengan khilaf yang dilakukannya.

"Sebulan dua mengenakan tudung, saya akui semangat untuk berubah dan memakainya cukup tebal. Namun selama saya pakai tudung, lama-kelamaan saya seperti tidak ikhlas. Saya seakan-akan takut dengan apa yang orang akan cakap dan fikirkan. Tetapi saya tidak mahu lagi hidup atas apa yang orang fikirkan. Keputusan ini biarlah antara saya dan Tuhan," katanya.

Uqasha menganggap, jika dia terus bertudung tetapi hatinya tidak ikhlas, dirinya seperti golongan munafik dan membelakangkan Tuhan.

"Doakan yang baik. Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X