Selasa, 30 Ogos 2016 | 8:30am

Hamilton mahu Alonso kekal di litar


Lewis Hamilton (kiri) dan Fernando Alonso. - Foto EPA

BARCELONA: Persaraan Fernando Alonso daripada Formula Satu bukan sesuatu yang mustahil, kata juara dunia, Lewis Hamilton namun dia berharap pemandu Sepanyol itu akan memutuskan untuk terus berlumba.

Bekas juara berganda, Alonso melakukan kejutan pada Grand Prix Belgium, Ahad lalu dengan memulakan perlumbaan daripada petak ke-22 dan menamatkannya di tempat ketujuh, tetapi secara keseluruhannya dia mengharungi kempen suram sejak kembali ke McLaren.

Dalam satu temuramah bersama akhbar Sepanyol AS, Hamilton melabelkan Alonso sebagai "seorang daripada pemandu terbaik sepanjang masa" tetapi dia mengakui bekas rakan sepasukannya itu berkemungkinan akan berhenti daripada sukan itu.

Ditanya jika benar persaraan itu sesuatu yang mungkin, Hamilton berkata: "Sudah tentu. Dia berumur 35 tahun dan dia sudah memperoleh wang yang cukup. Dia memenangi banyak perlumbaan, dia memperoleh pengalaman yang cukup dan dia tidak perlukan Formula Satu lagi untuk menjadi seseorang."

Bagaimanapun, Hamilton berkata dia berharap pemandu Sepanyol itu akan terus berlumba. Kontraknya bersama McLaren bakal berakhir pada penghujung kempen 2017.

"Jika dia bersara pada tahun depan dan saya tidak boleh bersaing dengannya lagi, ia adalah memalukan, sungguh memalukan," kata Hamilton.

"Ia tidak bagus untuk sukan ini dan ia akan menghantar mesej yang salah. Formula Satu tidak akan sama jika Alonso tidak meneruskannya.

"Saya masih rasakan dia adalah pemandu terbaik yang ada, saya selalu berkata begitu," kata Hamilton yang memburu kejuaraan dunia kali ketiga berturut-turut musim ini bagi menambah kemenangan pertamanya pada tahun 2008. - Reuters

Berita Harian X