Selasa, 30 Ogos 2016 | 10:37am

Trump selar Clinton kerana sering silap pertimbangan

CALON presiden Republikan, Donald Trump. - Foto AP

WASHINGTON: Calon presiden Republikan Donald Trump menyelar pesaing calon parti Demokratik, Hillary Clinton yang sering silap pertimbangan berikutan perpisahan pembantunya dengan suami akibat skandal mesej seks (sexting) kepada wanita lain.

Komen Trump dibuat berikutan kenyataan Timbalan pengerusi kempen presiden 2016 Hillary yang juga penasihat bekas setiausaha negara itu, Huma Abedin.

"Selepas mengambil masa lama untuk mempertimbangkan keputusan menyakitkan ini, selain berusaha menyelamatkan perkahwinan kami, saya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami," kata pembantu kanan Clinton itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan mengenai suaminya, bekas ahli kongres parti Demokratik, Anthony Weiner Ahad lalu yang menghantar gambar kelangkang beliau berlatar belakangnya anak kecilnya kepada seorang wanita pada 31 Julai 2015.

Ini bukan kali pertama Weiner memalukan orang di sekelilingnya. Beliau meletak jawatan dari Kongres Amerika Syarikat pada 2011 selepas skandal sexting lain.

Ketika itu beliau meminta maaf, berjanji untuk berubah dan berusaha untuk menjadi Datuk Bandar New York pada tahun 2013.

Trump sebaliknya menggunakan peluang itu untuk mempersoalkan pertimbangan Clinton susulan skandal terbaru itu.

"Huma membuat keputusan yang sangat bijak. Saya kenal benar dengan Anthony Weiner, dan hidup Huma akan lebih baik tanpa dia," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya hanya bimbangkan negara kerana Hillary Clinton cuai atau lalai hingga membenarkan Weiner berada cukup dekat dengan segala macam maklumat sulit negara," katanya.

"Siapa tahu apa yang beliau ketahui dan dengan siapa dia bercerita? Ia hanya satu lagi contoh salah pertimbangan Hillary Clinton. Berkemungkinan besar keselamatan negara sudah banyak terjejas akibat skandal ini." katanya. - Agensi

Berita Harian X