Selasa, 30 Ogos 2016 | 5:58pm

Suhami dilantik CEO baharu THHE


SUHAIMI Badrul Jamil.

KUALA LUMPUR: TH Heavy Engineering Bhd (THHE) melantik Suhaimi Badrul Jamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa esok.

Suhaimi adalah salah seorang anggota penting pasukan kepimpinan THHE sejak Disember 2013 dan akan mengambil alih jawatan itu daripada Nusral Danir yang kontraknya berakhir hari ini.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan pemulihan, penjanaan dana dan penstrukturan semula korporat. Ia disokong pengalaman lebih 30 tahun dalam perbankan, pengurusan kewangan, perakaunan, perancangan strategik, kewangan korporat, strategi dan pelaksanaan perniagaan penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Latar belakang perbankan dan kewangan di samping pengalaman penstrukturan semulanya dijangka dapat membantu Suhaimi mengambil alih kepimpinan syarikat pada landasan baharu dalam suasana harga minyak mentah jangka panjang.

Pengalaman luas beliau dalam industri minyak dan gas serta perbankan dan kewangan akan membantu THHE memberikan fokus terhadap strategi perniagaan yang tepat bagi membentuk syarikat menjadi sebuah entiti lebih mantap dengan portfolio minyak dan gas serta bukan minyak dan gas yang seimbang.

Mengulas pelantikannya, Suhaimi berkata beliau berterima kasih kepada Lembaga Pengarah THHE kerana melantik dan menaruh kepercayaan terhadapnya.

"Pelantikan saya berlaku semasa syarikat sedang berdepan tempoh sangat mencabar. Bagaimanapun, saya mengambil peluang ini untuk terus meningkatkan kedudukan syarikat.

"Sebagai CEO, keutamaan saya adalah untuk menetapkan THHE dalam laluan baharu dengan mendapatkan peluang perniagaan baharu yang tidak terikat dengan suasana harga minyak yang rendah serta secara agresif meneruskan usaha mengotimumkan kos.

"Tumpuan saya adalah untuk memberikan keseimbangan antara perniagaan minyak dan gas dengan bukan minyak dan gas," katanya.

Sementara itu, Nusral berkata apa yang diperlukan THHE sekarang adalah seorang CEO dengan latar belakang perbankan dan kewangan untuk membolehkan syarikat menghadapi suasana projek yang terhad.

"Beliau (Suhaimi) sudah pun berada di dalam pasukan kepimpinan sejak beberapa ketika dan berikutan itu, berada dalam kedudukan terbaik untuk mengambil alih jawatan CEO," katanya.

INFO

Suhaimi Badrul Jamil

  • Akauntan Bertauliah (Malaysia) dan Felo Institut Akauntan Awam Bertauliah Australia (CPA)
  • Mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Deakin University, Australia serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan pengkhususan dalam perakaunan.
  • Berpengalaman lapan tahun dalam industri minyak dan gas, selepas menjadi salah seorang pengarah pengasas Petra Energy Bhd, perunding serta Ketua Pegawai Kewangan THHE sejak dua tahun lalu

Berita Harian X