Selasa, 30 Ogos 2016 | 7:16pm

Pernikahan hadiah istimewa hari jadi Nazim Othman

NAZIM Othman hadir ke balai berita mengedarkan kad kahwinnya.

KUALA LUMPUR: Mula sibuk mengedarkan kad hari bahagianya, Nazim Othman mengakui pernikahan dengan gadis pilihan, Bella Dally di Sabah pada 10 September ini adalah hadiah hari jadi paling istimewa.

Bakal meraikan ulang tahun ke-32 pada 16 September ini, Nazim dijadual bernikah dengan Bella di sebuah hotel di Kota Kinabalu diikuti majlis resepsi di lokasi sama.

"Pemilihan bulan September sebagai hari bahagia kami ada simbolik tersendiri. Kami lahir pada bulan sama. Jika saya lahir tarikh 16 September, Bella pula pada 27 September," katanya kepada BH Online ketika berkunjung ke Balai Berita untuk mengedarkan kad perkahwinannya, di sini.

Nazim memberitahu, dia tidak menyangka bertemu jodoh dengan gadis Sabah.

"Jika mengikut MyKad, saya memang lahir di Sabah. Bapa saya sering bertukar lokasi kerana bekerja sebagai kelasi.

"Cuma saya membesar di Johor Bahru. Akhirnya jodoh saya dengan orang Sabah," katanya yang bercinta lima tahun dengan Bella.

Bercerita mengenai majlis perkahwinannya, Nazim berkata, dia dan Bella memilih konsep ringkas malah hanya kira-kira 1,000 tetamu dijemput.

"Majlis resepsi sebelah Bella berkonsep moden manakala saya pula memilih tradisional kontemporari pada majlis menyambut menantu di Johor pada 17 September," katanya yang berjanji memuat naik detik istimewa itu secara langsung di laman sosial buat tatapan peminat.

Katanya, dia akan menggayakan tiga rekaan Rizman Ruzaini bagi tiga majlis yang akan diadakan. Ketika ini, sudah 90 peratus kelengkapan sudah siap.

"Bella pula akan mengenakan rekaan Tengku Syahmi bagi majlis nikah, Nurita Harith untuk resepsi di Sabah dan Rizman Ruzaini untuk majlis di Johor. Adik bongsu kepada ibu saya juga berbesar hati untuk menaja pelamin kerana mempunyai butik perkahwinan Prettyphannatiq Weddings di Johor. Pelamin di Sabah pula tajaan Damalee Wedding.

"Kami juga mendapat tajaan fotografi dan videografi daripada CST Production dan Lightcatchers," katanya.

Nazim berkata, dia akan kembali ke lokasi penggambaran drama Lara Aishah selepas majlis perkahwinannya.

Ditanya mengenai Bella, Nazim berkata:

"Bella adalah wanita berdikari. Ia menjadi antara sebab saya menyukainya. Saya takkan halang dia berlakon. Cuma sebagai isteri, dia kena tahu batas diri," katanya.

Nazim melamar Bella pada 26 Oktober lalu ketika mereka menjalani penggambaran drama Akulah Balqis di Langkawi. Pada 14 November lalu, Nazim menghantar rombongan meminang Bella di Kota Kinabalu.

Berita Harian X