Rabu, 31 Ogos 2016 | 11:24am

Sultan Nazrin saksi perarakan Hari Kebangsaan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah membalas tabik hormat di perbarisan kawalan kehormatan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-59 Peringkat Negeri Perak di Dataran KTMB @ Dewan Bandaran Ipoh. Turut kelihatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (lima dari kiri). - Foto L Manimaran

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh, di sini sebentar tadi.

Baginda berdua tiba kira-kira jam 8.20 pagi, dengan ditemani dua anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa perbarisan kawalan kehormatan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-59 Peringkat Negeri Perak di Dataran KTMB @ Dewan Bandaran Ipoh. - Foto L Manimaran

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Sultan Perak kemudian berkenan memeriksa kawalan hormat barisan Platun 1 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Sungai Besi.

Acara sambutan bermula dengan bacaan doa sebelum persembahan nyanyian koir oleh 105 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarsician Convent dan SMK Convent dengan lagu Nyalakan Tekad, Sehati Sejiwa dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 116 kontinjen yang disertai kira-kira 6,000 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Pada sambutan kali ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak buat pertama kalinya menyertai perarakan kenderaan yang membabitkan kenderaan operasi jabatan itu serta dua kenderaan rampasan lucut hak.

Seramai kira-kira 10,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum menghadiri sambutan berkenaan untuk menunjukkan semangat patriotik masing-masing.

Berita Harian X