Khamis, 1 September 2016 | 10:53am

Skim khas untuk pembeli rumah pertama akan dibentang pada Bajet 2017


MENTERI Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berucap pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem rumah mesra rakyat (RMR) dalam talian (RMRONLINE) melalui laman sesawang Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan skim pembiayaan perumahan khas bagi memudahkan pinjaman membeli rumah pertama pada pembentangan bajet 21 Oktober ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan Bank Negara serta empat lagi institusi kewangan bagi merangka formula untuk mewujudkan skim berkenaan.

Beliau berkata, skim yang membabitkan pembelian rumah berharga RM300,000 dan ke bawah bertujuan membantu golongan yang gagal memperoleh pinjaman.

"Skim ini bertujuan merapatkan jurang perbezaan antara nilai sebenar rumah dengan nilai yang boleh ditawarkan oleh institusi kewangan dalam memberikan pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran sistem rumah mesra rakyat (RMR) dalam talian (RMRONLINE) melalui laman sesawang Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Sistem dalam talian bertujuan memudahkan orang ramai membuat permohonan RMR1M.

35 dibaca
Berita Harian X