Khamis, 1 September 2016 | 12:45pm
Sebahagian 176 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diberi makan pulut kuning sempena kemerdekaan dan Majlis Restu Ilmu di Sekolah Kebangssan (SK) Mentuan, Kota Bharu . - Foto Nik Abdullah Nik Omar

176 pelajar dirai dalam majlis restu ilmu

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Mentuan, Che Sazali Che Ibrahim (kanan) menyuap pulut kuning kepada sebahagian 176 calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sambil diperhatikan oleh Timbalan Ketua UMNO Kubang Kerian, Datuk Anuar Safian (dua kanan) dalam Majlis Restu Ilmu di Sekolah Kebangssan (SK) Mentuan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Seramai 176 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan di sini yang bakal menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diraikan dalam Majlis Restu Ilmu bersama ibu bapa dan guru.

Guru Besar, Che Sazali Che Ibrahim, berkata program berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan untuk memberi keyakinan serta semangat kepada murid menghadapi UPSR dengan cemerlang.

"Untuk percubaan UPSR, seramai 22 murid di sekolah ini mendapat 6A dan kami menetapkan sasaran 40 murid mencapai 6A pada peperiksaan sebenar yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

"SK Mentuan berada di tempat kedua terbaik selepas Sekolah Kebangsaan Zainab dalam kategori Sekolah Luar Bandar peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu," katanya selepas merasmikan majlis berkenaan di perkarangan sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Anuar Safian.

Sazali berkata, SK Mentuan menganjurkan pelbagai program sejak tahun ini untuk murid Tahun Enam bagi menghadapi peperiksaan UPSR.

"Antara program diadakan kelas tambahan serta bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan supaya murid dapat didedahkan dengan cara menjawab yang betul serta dibekalkan ilmu mencukupi bagi menghadapi UPSR," katanya.

Berita Harian X