Khamis, 1 September 2016 | 12:54pm

KRU rancang konsert jelajah simbolik sambutan jubli perak


TRIO KRU, dari kanan, Edry Norman dan Yusri.

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan persembahan mega di Singapura baru-baru ini, KRU merancang mengadakan konsert jelajah ke beberapa bandaraya di negara ini tahun depan sebagai simbolik jubli perak kumpulan itu.

Edry Abdul Halim berkata, konsert di republik berkenaan pada 6 Ogos lalu yang juga direalisasikan bersempena penubuhan KRU adalah sebagai pemanas badan untuk meneruskan legasi mereka untuk tahun ke-25 genap 19 Mei 2017.

"Andai mengikut perancangan, konsert bergerak itu dijadualkan diakhiri di ibu negara pada 19 Mei tahun depan iaitu bertepatan tarikh kami menandatangani kontrak bersama EMI, 25 tahun lalu.

"Sebelum KRU mengadakan siri jelajah di beberapa lokasi di Malaysia namun buat masa ini perincian termasuk pemilihan bandar persinggahan belum dapat dikongsikan.

"Kalau era lalu kita tidak punya masalah merealisasikan acara sebegini di stadium berskala besar tetapi dengan harga tiket sekarang selain membabitkan kos tinggi, penaja dan lokasi sesuai, banyak faktor perlu dipertimbangkan," katanya.

Selain Edry, trio adik beradik yang pernah mencipta fenomena dalam industri seni muzik dan kini bergelar usahawan itu turut dianggotai Datuk Norman serta Yusry.

Kali terakhir masuk studio bersama lagu Hingga Ke Jannah pada awal tahun ini, mereka dijangka tampil bersama sebuah lagi garapan terbaharu yang diharap terus malar segar seperti dendangan terdahulu.

"Sepanjang 25 tahun kami sudah mencuba pelbagai genre. Kami pernah menyanyi rock, balada, rap dan macam-macam lagi. Cabaran besar bagi saya adalah memastikan dua lagi anggota KRU, Yusry dan Norman berpuas hati kerana mereka sangat cerewet.

"Mereka mahu produk kualiti dan sentiasa cuba memastikan lagu kami jadi malar segar. Contohnya Awas yang diterbitkan pada 1994 masih lagi diingati hingga sekarang," katanya yang pernah diberi mandat sebagai Pengetua Akademi Fantasia tahun lalu.

Edry dalam perkembangan lain dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Muzik bagi Akademi Fantasia (AF) 2016 namun rutinnya sebagai komposer dan penerbit berjalan seperti biasa.

"Selain sedang menghasilkan lagu baharu KRU, saya juga dalam proses menerbitkan lagu Stacy, Syamel, Mojo dan Caliph Buskers yang sudah menjadi tugasan tahunan saya," katanya lagi.

Sejak ditubuhkan pada 1992, KRU sememangnya antara nama berpengaruh dalam industri seni negara ini apabila bukan sekadar menghasilkan banyak lagu popular dendangan sendiri, malah menerbitkan karya popular termasuk dendangan Elite, Rabbani, Stacy, Adam dan Forteen.

Antara lagu popular nyanyian mereka ialah Mengerti, Awas, Ooh! La! La!, Apa Saja, The Way We Jam, Jangan Lafazkan, Bidadari, Impak Maksima dan Terhangat Di Pasaran.

Menerusi syarikat perfileman KRU Studios pula, Yusry dan abangnya menghasilkan karya popular seperti Cicak-Man, Duyung, Jin Notti, Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Berita Harian X