X
Khamis, 1 September 2016 | 6:12pm

Lagu Farahdhiya cipta sejarah dimainkan lebih sejuta kali

SINGLE terbaharu Farahdhiya, Milikku Abadi, mencipta sejarah sebagai lagu Melayu pertama dimainkan lebih sejuta kali menerusi aplikasi penstriman muzik Raku.
SINGLE terbaharu Farahdhiya, Milikku Abadi, mencipta sejarah sebagai lagu Melayu pertama dimainkan lebih sejuta kali menerusi aplikasi penstriman muzik Raku.

KUALA LUMPUR: Single terbaharu Farahdhiya, Milikku Abadi, mencipta sejarah sebagai lagu Melayu pertama dimainkan lebih sejuta kali menerusi aplikasi penstriman muzik Raku.

Lagu berkenaan dimainkan secara eksklusif di aplikasi terbabit sejak Julai hingga Ogos lalu.

Kejayaan berkenaan turut melayakkan peserta Gegar Vaganza (GV) musim kedua terbabit dipilih sebagai Artis Terbaik pertama aplikasi muzik itu.

"Alhamdulillah, kejayaan ini cukup bermakna buat saya. Terima kasih kepada mereka yang sudi mendengar lagu Milikku Abadi," kata Farahdhiya ketika mengulas pencapaian lagu berentak balada ciptaan Tam Spider dan lirik tulisan Keon itu.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun ini, lagu berkenaan pada dasarnya kedengaran seperti sebuah naskhah yang berkisar pada cinta dan kasih sayang.

"Saya bagaimanapun melihat ia lebih daripada membicarakan hal terbabit. Karya ini adalah mengenai perjalanan kerjaya seni saya, daripada nyanyian dan kemudian terjun ke arena lakonan.

"Kini, nyanyian kembali berpihak kepada saya. Saya harap single ini akan dapat mengulangi kejayaan pernah dikecapi lagu Bertakhta Di Hati suatu masa dulu," katanya.

Biarpun bermula sebagai penyanyi rakaman pada 2004, namun nama Farahdhiya kemudian bagaikan tenggelam di bidang muzik, sebaliknya menyerlah sebagai pelakon.

Kata wanita berdarah kacukan ini, tawaran berlakon itu sendiri datang seiring dengan populariti Bertakhta Di Hati. Daripada niat asal sekadar mencuba, minatnya terhadap lakonan kemudian terus berputik.

Namun, penyertaan dalam program GV2 mengingatkan kembali peminat terhadap kerjaya asalnya sebagai penyanyi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X