Khamis, 1 September 2016 | 6:14pm

Kedai emas rugi RM10,000 dirompak

ANGGOTA polis forensik memeriksa sebuah kedai emas di Lebuh Tek Soon yang dirompak hari ini. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Sebuah kedai emas di Lebuh Tek Soon di sini rugi kira-kira RM10,000 selepas dirompak petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, dua suspek termasuk seorang wanita dikatakan masuk ke premis berkenaan sebelum memecahkan cermin rak pameran menggunakan kapak.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghaffar Rajab, berkata dua suspek berusia lingkungan 30-an memakai topi keledar ketika kejadian.

"Polis masih menjalankan siasatan berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam premis berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang petang tadi.

Bagaimanapun, tiada pekerja premis berkenaan cedera dan perompak hanya sempat melarikan tiga rantai leher.

Berita Harian X