Khamis, 1 September 2016 | 9:29pm

Prasarana umum diskaun 50 peratus LRT, Monorel dan BRT

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memperluaskan tawaran potongan harga tambang sebanyak 50 peratus kepada pengguna Bas Rapid Transit (BRT) bermula 16 September ini.

Tawaran itu juga merangkumi pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorel membabitkan perjalanan sebelum waktu puncak iaitu pada jam 6 hingga 7 pagi pada hari bekerja.

Laluan berkenaan ialah LRT Kelana Jaya, LRT Sri Petaling, LRT Ampang, Monorel KL dan BRT Sunway.

KETUA Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz. - Foto Yazit Razali
KETUA Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz. - Foto Yazit Razali

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz, berkata tambang istimewa itu hanya ditawarkan kepada pengguna yang menggunakan mod pembayaran tanpa tunai.

Katanya, ia termasuk pengguna Touch 'n Go Sdn Bhd (TNG), Kad MyRapid, MyRapid Smart 7 dan MyRapid Smart 30 selain warga emas, pelajar dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai kad konsesi.

"Pada masa masa, inisiatif itu diambil bagi menggalakkan pengguna untuk menukar corak perjalanan mereka dengan memulakan perjalanan lebih awal ke tempat kerja.

"Ia sekali gus mengelakkan kesesakan di kawasan laluan terbabit selain membolehkan penumpang sampai ke destinasi yang dituju tepat pada masanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Diskaun 50 Peratus Tambang LRT, Monorel dan BRT di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana, Ahmad Nizam Mohamed Amin. 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X