Jumaat, 2 September 2016 | 9:06am

Kim Swee akan terus berkhidmat selagi diperlukan

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee akan terus membimbing pasukan kebangsaan selagi khidmatnya diperlukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Biarpun kedudukan jurulatih berusia 46 tahun itu sering dipertikai sesetengah pihak, Kim Swee berkata beliau tetap akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin untuk mempersiapkan pasukan negara menghadapi Piala AFF Suzuki, November ini.

"Saya mempunyai tanggungjawab. Jika presiden (FAM) mahu saya dikekalkan, saya akan kekal...jika beliau tidak mahu saya kekal (membimbing pasukan negara), saya akan lepaskan jawatan," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM semalam.

Sebelum ini, desas-desus menyatakan kedudukan Kim Swee dan jurulatih skuad B-22 tahun, Frank Bernhardt akan terjejas selepas pemilihan baharu pucuk pimpinan FAM tahun depan.

Sementara itu, mengenai skuad Harimau Malaysia, Kim Swee memilih penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohd Amri Yahyah selaku ketua pasukan untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' menentang Indonesia, Selasa depan.

"Saya telah berbincang dengan Datuk Hamidin Mohd Amin (pengurus pasukan), kami melantik Amri dan akan dibantu Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat. Kita tahu Amri seorang pemain senior yang konsisten bersama pasukan kebangsaan.

"Beliau juga mempunyai ciri-ciri seorang ketua...penting untuk mengendalikan pemain-pemain muda dalam skuad kebangsaan kali ini. Beliau juga mempunyai pengalaman menjadi kapten apabila Mohd Safiq Rahim mengalami kecederaan," katanya.

Kim Swee berkata walaupun sudah berusia 35 tahun, Amri adalah salah seorang pemain senior yang konsisten dalam menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan.

"Walaupun bermain pada 20 minit terakhir, beliau masih konsisten," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X