Jumaat, 2 September 2016 | 5:30pm

Alias dilantik KSU Setiausaha Kementerian Pendidikan


Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyerahkan surat pelantikan kepada Datuk Seri Alias Ahmad (kanan) yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan berkuatkuasa esok di Bangunan Perdana Putra, Jumaat. Alias menggantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang bersara wajib. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Alias Ahmad, dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan berkuat kuasa esok, menggantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, yang bersara wajib.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, dalam satu kenyataan, berkata kerajaan berterima kasih kepada Madinah atas sumbangannya selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam negara.

"Saya percaya pengalaman Alias akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab baharu ini dengan berkesan dan mampu meneruskan misi Kementerian Pendidikan dalam melestarikan sistem pendidikan yang bermutu untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara," katanya.

Alias, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari universiti sama.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 32 tahun sebagai penjawat awam, memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984.

Alias berpengalaman luas dalam bidang perancangan, penyelidikan dan dasar, pengurusan sumber manusia serta keselamatan.

Berita Harian X